Teman Bicara

Saturday, October 18, 2008

Di Ambang Perjuangan

Sedang tangan leka menari menyudahkan kerja yang terbengkalai, mulut tak henti bercerita. Bukannya gemar sangat mulut ini bersuara, sekadar usaha menghembus pergi rasa jemu yang kian membelenggu. Projek berkumpulan yang telah sekian lama tersepuk hampir reput, kami kuak semula untuk diselesaikan. Jika tidak, alamat terbanglah markah final year jawabnya. Kadang hilai tawa yang sederhana berjaya mengusir gundah seketika cuma. Tiba-tiba, terpacul pertanyaan dari salah seorang sahabat yang sedang sama bekerja,

'Tesis kau macam mana, eya?’

Bagai halilintar membelah bumi, gemanya terpasak ke hati. Sekadar senyum sebagai jawapan kepada persoalan yang ingin aku pinggirkan sebentar. Sabarlah duhai hati, pujuk jiwa.

Sekembalinya ke kolej, terasa ingin menghambur air mata. Aku tahu di atas sana ada Pendengar setia, namun jiwa ku inginkan seseorang yang sealiran fitrah saat ini. Pada siapa ingin dikongsi beban yang tergalas ini? Ibu? Tidak sekali-kali. Enggan aku mengundang resah di hatinya. Ayah? Juga tidak mungkin. Jika hatinya galau, aku tidak mahu sekali menjadi puncanya. Itu perinsipku. Semua kutelan sendiri, sejak zaman persekolahanku. Walau sehebat mana badai melanda, tempiasnya tidak kuizin mereka merasa. Meraka sendiri tepu dengan amanah mereka.

Tika ini lah teruji, sahabat di saat tawa bergema dan tika tangis bertamu. Hanya satu nama yang melintas di ufuk fikiranku. Lalu, ’trooottt....trootttt.....’

'Helo.... Assalamualaikum....’

Mendengar sahaja gemersik suaranya yang bagaikan salju putih menebari terik gurun Sahara, hatiku jadi sebak. Langsung tak mampu berkata-kata. Mendengar esak tangisku yang berlarutan, dia memberi ruang untukku meredakan emosi. Ya, itulah selayaknya seorang sahabat, cuba memahami keperluan sahabatnya sendiri. Laluku lepaskan padanya segala kekusutan yang membungkam jiwa. Ku mohon dia mendoakan agar dipermudahkan segala urusanku. Sahabat ku menolak, menidakkan permintaanku. Terkesima dengan gelagatnya yang ku rasa sekadar ingin mengguris hati. Jiwa kacau. Air mata yang hampir kering, tumpah kembali. Oh, sahabat. Mendengar esak tangisku yang kian mendesah, ujarnya dalam kesyahduan beriring keikhlasan ...

'Eya, ujian dari Allah itu adalah tarbiah untuk kita berdepan dengan hidup. Semakin kuat iman, semakin berat ujian, semakin tinggi darjat kita di sisiNya. Aku tidak mahu mendoakan agar darjat kau dikurangkan di sisi Maha Pencipta. Doaku agar kau tabah berdepan ujian lalu darjat kau kekal tinggi bersamaNya dengan ujian yang berat itu’


Terpempan. Sahabat yang bukan sahaja memikirkan duniaku malah turut menjaga akhiratku. Nikmat Tuhan yang hanya untuk aku, kerna dia sahabatku. Di saat terasa lirihnya bahu menggalas bebanan, sahabat lah tongkat menopang semangat. Padanya aku benamkan seluruh rahsia kerna aku yakin ia tetapkan terkunci rapat.

Agak sakit sebenarnya saat peperiksaan kian menderap hampir. Tugasan datang bertimpa-timpa. Menuntut waktu dan usaha serta pengorbanan segalanya. Saat ini juga satu-persatu ujian bertandang, mencabar kesabaran, menguji iman. Suara yang molek menjadi serak basah. Demam yang bertandang hingga kini masih tak kebah. Tarbiah dari Tuhan.... Minggu depan aku masih punya tanggungjawab untuk dilunaskan. Dua test aku ketinggalan. Bukan sengaja ingin memonteng, kudrat yang tak seberapa tidak mampu lagi dikerah untuk bertandang ke kelas tatkala ujian diadakan. Telah aku maklumkan kepada pensyarahku seadanya. Semoga Allah memudahkan urusan mereka yang membantuku menunaikan amanahku.

Sedang mata ralit membelek skrin di hadapan, hati tiba-tiba mendesah. Rasa ingin menangis melihat jadual peperiksaan.


2 paper major dalam satu hari? Apakah? Memang aku sedia maklum tentangnya apabila pihak pengurusan mengeluarkan draft jadual peperiksaan namun sangkaku ada pihak yang telah berurusan untuk menganjak tarikh..... Inilah akibatnya jika saling menolak tanggungjawab. Akhirnya, masing-masing lepas tangan. Siapa yang rugi?


Oh Tuhan, kuatkan semangatku.... Tak study satu habuk pun lagi nih...

p/s: Memetik kata-kata sahabatku...

'Eya, jika boleh ingin aku menanggung segala deritamu kerna ketahuilah bahawa aku perlukannya untuk menghapus dosa-dosa silamku....’



P/p/s: Ingatlah bahawa di saat kita merasa beratnya ujian, ketahuilah, ramai lagi manusia di luar sana yang menanggung bebanan yang lebih mencabar. Andai berasa diri serba kurang, pandanglah ke bawah sekala untuk melihat manusia lain yang lebih dihimpit kedhaifan. Moga dapat dijinak nafsu yang sentiasa ingin menang.

5 respons:

mohonlah diberatkan iman,bukan memohon diringankan ujian..

musibah sebenarnya membawa angin berita gembira.

semoga berjaya dalam imtihan~

Rupanya enti salah sorang moderator iluvislam ya..

Dugaan datang membawa hikmah..teruskan perjuangan..

to nessa
InsyaAllah... dah terasa ringan dugaan bila hati meredha..

to ibnurashidi
Ramai lagi yang lebih berat dugaannya berbanding ana.

Kesabaran adalah ulaman wanita soleh.Seperti ulam,nampak tidak menyelerakan tetapi banyak khaisiat di dalamnya begitulah juga kesabaran ,terlalu bayak fadilat dan hikmah yang tersembunyi.Oleh itu jangan bersangka buruk kepada perkara yang anda tidak mengetahui sepenuhnya.

Dugaan membuat kita senyum bila melepasinya. Kita semua merasainya melalui tahap berbeza. Kita diperhatikan. Selamat berusaha Cikgu Eya.