Teman Bicara

Sunday, September 13, 2009

Marah dan kesannya pada hati

Marah. Sifat yang membuah permusuhan maha panjang. Seorang jaguh, bukanlah manusia yang mampu menumbangkan semua lawannya tetapi, ialah manusia yang mampu mengawal diri ketika marah. Adat insan yang sering alpa, pasti ada culasnya tika mengharung hidup. Kadang hati terleka, mudah sahaja nafsu marah membenih ranum. Namun, tidak adakah kemafaan selepas di hentam sebegitu rupa? Bukankah kekasih Allah, pemaaf sifatnya?


Hati dan Tembok Batu


Pernah suatu ketika, seorang anak muda, amat baran sifatnya. Panas hatinya yang sering menguasai diri, mengundang bimbang si ayah. Lalu ayahnya menyarankan,

'Jika kau terasa ingin benar melempias marah dan emosimu, pakukan pada tembok batu itu. Ini pakunya, dan ambil sekali tukul itu. Moga kau mampu menahan bahana sifat syaitan itu'


Lalu, pemuda tersebut menuruti saranan ayahandanya. Tiap kali terasa wajahnya membahang, mata menyinga, segera saja dia mencapai paku dan tukul. Berdepan dengan tembok batu, dia melempias marah. Lagak bagai bertukang, dengan penuh emosi, paku itu dipalu.


Sepurnama. Kiranya, pemuda tadi dirasakan sudah mampu mengawal marah. Manakan tidak, tembok batu itu sasarannya apabila terasa ingin membaham lawan.


'Terima kasih, ayah. Aku sudah mampu mengawal emosiku' ucapnya gembira.

Ayahnya menyongsong ke tembok batu. Terlihat paku berceracak di sana sini. Ada yang bengkok ke kanan, ada pula yang ruku' ke kiri. Yang sujud, ada juga. Mungkin ketika itu, anaknya benar-benar marah sehingga menghentak paku tersebut terlebih kuat.

'cabutkan paku-paku itu' arah si ayah

Dengan dahi yang berkerut seribu persoalan, tangannya hanya manurut kehendak ayah. Si anak mencabut satu per satu. Selesai.

'Apa yang kau lihat kini?' soal si ayah.

'Dinding yang cacat, hodoh, berlubang-lubang. Teragis sekali' menjawab dengan kepelikkan.


'Begitulah hati yang dimarahi. Setiap kali kau hamburkan kemarahan pada seseorang, begitulah kesan ke atas hatinya. Hancur, retak, berlubang. Hampir berkecai. Semakin kerap kau gagal memgawal emosimu, semakin juga hati sahabatmu menjadi bengkak. Jika pun kau memohon kemaafan, ukhwah itu tidak seperti sedia kala. Lihat saja, tembok yang hampir roboh itu. Walau pakunya sudah kau cabut, tidak ia kelihatan kukuh seperti mana asalnya, sebelum ia disentuh. Maka, berhati-hati mengemudi emosimu. Bukan mudah kau ingin perbaiki hati insan yang pernah kau hamburkan emosimu'


'Apakah tidak mungkin ia kembali ke sedia kala?' gusar nampaknya si anak. Terbayang puluhan manusia yang sering menjadi natijah amarahnya. Tergambar, seperti itu agaknya hati mereka yang pernah menjadi mangsanya.


'Mungkin boleh. Seperti tembok itu. Ia perlu ditampal dengan simen. Simennya perlu dibeli dan dibancuh, membutuh wang dan tenaga. Sesudah di tampal, perlu pula ia dibiar kering. Kemudian, dicat kembali agar berseri. Memakan masa, bukan? Begitu juga dengan hati. Untuk mengembalikan ukhwah seperti sedia kala, kamu perlukan usaha yang lebih serta, masa. Kadang, biar masa yang merawat hati. Kadang yang lain pula, perlu juga kau melabur usaha dan tenaga, mungkin juga wang ringgit' panjang lebar nasihat si ayah.


Si anak tertunduk. Besar rupanya harga yang perlu dibayar, hanya kerna dirinya yang gagal mengawal emosi...


0 respons: