Teman Bicara

Monday, November 29, 2010

Guru Sehingga Akhir Hayat

Tuesdays With Morrie - Selasa Bersama Professor Morrie (buku)

Morrie - sorang profesor tua yang berhadapan dengan pelajarnya dalam bersahaja. Menganggap para pelajarnya sebagai sahabat yang ingin berkongsi sesuatu, beliau lebih mewujudkan suasana 'perbincangan' berbanding kuliah rasmi. Sifatnya yang sangat disenangi menjadikan Morrie sebagai tempat rujukan utama dalam beberapa perkara, termasuk isu-isu yang langsung tidak ada kaitan dengan kuliahnya. Keterbukaan si profesor tua ini untuk menerima sesiapa sahaja dalam rutin hariannya, ditambah dengan sifat 'pendengar setia' yang sememangnya sebati di jiwa, menjadikan Morrie seorang guru berjiwa pelajar.

Mitch n Morrie - movie version
'When U know how to die, u know how to live'

Mitch Albom - Merupakan salah seorang pelajar Morrie yang berjaya dan rapat dengannya. Morrie sentiasa menjadi tempat rujukan baginya dalam segala urusan hidup. Pada hari akhirnya bergelar mahasiswa, Morrie mendakap tubuh Mitch sambil berkata 'Adakah kita akan saling berhubung?' Tanpa lengah Mitch menjawab 'Sudah tentu'
Namun, kehidupan tidak semudah yang disangka. Mitch hanyut, seperti kebanyakan manusia. Dihempas-hempas oleh arus perubahan dunia, mereka terputus hubung. Mitch yang berkerja sebagai pelapor berita sukan, sibuk dengan keduniaan yang tidak pernah puas dengan suatu apa pun. Sedangkan Morrie masih ditakuk lama, bersama cara pemikirannya yang sama.

Amyotrophic Lateral Sclerosis (ASL) adalah sejenis sakit saraf yang meragut ketangkasan Morrie. Ya, Morrie seorang profesor tua. Namun, anggota tubuhnya masih tangkas, sebelum beliau diserang oleh penyakit yang membunuh seperti lilin itu. Mencair, sedikit demi sedikit. Dari aras bawah, kaki sehingga ke atas, kepala. Malah, mungkin juga tidak sempat sampai ke kepala, hanya singgah di aras jantung dan paru-paru, membuatkan dua organ penting ini terhenti lalu, menghembuskan nafas terakhirnya.

Morrie yang asalnya ialah seorang yang suka akan muzik, beliau menari sesuka hati apabila terdengar muzik. Di sebuah dewan tari yang luas, berisi para remaja yang ramai, Morrie menari mengikut rentaknya sendiri. Morrie memakai T-shirt biasa, berseluar sukan dengan sehelai tuala kecil yang disangkut di leher, beliau menari mengikut gerak hati. Beliau akan melompat, berpusing, memutar-mutarkan badan, sehingga peluh membasahi tubuhnya. Biar mereka sangka, si tua tiga suku ini mungkin sudah kebosanan dengan hidup. Hakikatnya, beliaulah si guru cerdik yang mahir tentang kehidupannya.

Sejak disahkan mengidap penyakit 'lilin' (ALS), Morrie sudah tidak betah menguruskan diri. Saraf-saraf tubuhnya mula kejang, tidak menunjukkan respon yang sepatutnya. Ia bermula dari kaki. Kelincahan Morrie dirampas. Semakin lama, tubuhnya semakin hilang upaya dek penyakit tersebut. Kisah Morrie yang menunggu saat kematiannya mendapat perhatian seorang pemberita lalu ingin menyiarkan kisahnya dalam rangkaian berita mereka.
'Mereka mempergunakan kamu Morrie, untuk kepentingan mereka'
'Ya, saya juga mempergunakan mereka. Saya gunakan mereka untuk menyampaikan nasihat dan ilmu kepada seluruh pelosok dunia'
Itu lah Morrie, masih ingin memberi dalam keterbatasan fizikalnya yang ketara.
'Jika saya tidak mampu membantu kamu melalui kekuatan saya, terimalah kekuatan minda dan ilmu saya, jika ia dapat mebantu kamu'


Akhirnya, Mitch mengambil keputusan untuk bertemu Morrie. Di rumah Morrie, di atas kerusi rodanya. Sering mereka bertemu di hadapan tingkap, di sudut bilik bacaan Morrie yang penuh dengan buku-buku ilmiah. Pertemuan kali pertama mengimbau kembali nostalgia mereka. Syarahannya tentang kehidupan, kian diperkukuh dengan persediaanya menghadapi kematian. Kerna kedahagaan Mitch tentang aturan kehidupan, pertemuan pertama berlanjutan sehingga ke pertemuan-pertemuan berikutnya. Hari Selasa. Ya, mereka orang hari Selasa. Itu yang telah mereka tetapkan. Hari Selasa sebagai hari konsultasi penyediaan tesis terakhir mereka, tentang kehidupan.


Semua manusia yang punya akal mengakui, mereka tidak kekal lama di alam maya ini. Namun, pengakhiran kehidupan di dunia (yakni kehidupan selepas mati) adalah mengikut kepercayaan masing-masing. Yang penting, semuanya percaya kita pasti mati. Noktah. Ironinya, manusia paling takut dengan kematian. Terutamanya di negara-negara maju yang pesat dengan aktikiti-aktiviti harian yang beragendakan wang ringgit. Isu kematian telah lama dilupakan sehinggakan mereka sanggup berbayar berjuta-juta dolar hanya untuk belajar tentang mati. Kerana siatuasi terdesak seperti ini, Morrie difokuskan sebagai satu jambatan penghubung antara mereka dengan kematian. Kerna, Morrie menuju ke arahnya, kematian.

Jika anda mengetahui bahawa anda akan mati dalam suatu jangka waktu, apa yang akan anda lakukan? Menangisi nasib sehingga bengkak mata? Atau ingin mencuba semua nikmat dunia sebelum ditarik nyawa? Bagi Morrie, beliau ingin menyumbang sebanyak mana yang beliau mampu sebelum berdepan dengan kematian. Dengan keterbatasan fizikalnya yang sangat fakir tenaga, beliau mengajarkan manusia-manusia hidup ini, tentang kehidupan. Semakin hampir beliau dengan maut, semakin beliau memahami tujuan hidup. Beliau bersyarah tentang Kasih sayang, menghargai diri, tentang dunia, tentang cinta yang berkekalan, tentang menyusuri umur tua .... tentang bagaimana perlu meraikan hidup...
Tiap detik terakhirnya menyedut udara di bumi ini, beliau menikmati kehidupannya dalam kepayahan yang nyata. sedangkan betapa ramai manusia di luar sana yang merayu-rayu 'Oh Tuhan.. oh Tuhan.. ambil nyawaku'
Hanya kerna peristiwa-peristiwa hidup yang rutin dan sedikit sakit, mereka ingin meninggalkan dunia ini. Sungguh rugi, menurut Morrie.


Guru Sehingga Akhir Hayat - itu adalah kalimah yang ingin dipasakkan oleh Morrie pada batu nisan nya nanti. Kerna sifatnya yang sentiasa memberi, dengan dayanya yang tersendiri. Itu lah sifat seorang guru.

'Tidak semua manusia bertuah seperti saya' kata Morrie.
'Bertuah? Tuan rasa bertuah dalam keadaan begini?' ternyata Mitch tidak dapat menangkap.
'Bertuah saya, saya mengetahui hayatnya saya. Saya mengetahui, maut sedang menjengah. Bila-bila saja, ia akan tiba. Saya bersedia. Sebelum dia menjengah, saya lakukan sebaik mungkin untuk orang sekeliling saya. Isteri saya, anak-anak saya, sahabat-sahabat saya. Saya tinggalkan sesuatu untuk mereka sebelum saya pergi. Sungguh bertuah bukan?'
'Bertuah?' masih dalam persoalan, kerutan dahi Mitch.
'Ya, bertuah. berbanding mereka yang tiba-tiba meninggal dunia. Tidak sempat mengucap maaf, tidak sempat memaafkan diri. Tidak sempat berbakti, tidak sempat menyempurnakan banyak perkara' jawab Morrie.
'ya, memang bertuah'

Apabila kamu melihat masalah dari perspektif yang unik, kamu akan menjadi sebahagia Morrie.


Apabila berbicara tentang penyesalan, kesedihan... Morrie berkata...
Kamu masukkan perasaan kamu itu sepenuhnya kemudian, tinggalkan ia. Pabila kamu rasa sedih, alamilah ia sebenarnya. Mengangis lah, jika kamu mahu mengalirkan air mata. Biar kamu berkenalan dengan perasaan yang seperti itu. Kemudian, lepaskan ia.
'Baik, ini lah rasa sedih. Saya sudah kenal maka saya akan tinggalkan kamu' begitu kata Morrie..
Bersedih ada waktunya. Bagi Morrie, pagi adalah waktunya untuk bersedih. Akan menangis dia, sepuasnya. Kemudian, dia tinggalkan rasa sedih tersebut dan memulakan hidup pada hari tersebut seperti biasa.

Tahukah kamu, apa yang paling digeruni oleh Morrie? Morrie paling takut jika dia kehilangan suara dan gerakan tangannya. Dia menggunakan tangan untuk memberi isyarat dan menggunakan suara untuk menyampaikan sesuatu. Jika dia kehilangan suaranya, tangannya masih boleh digunakan untuk menyampaikan. Jika dia kehilangan kedua-duanya, dia sudah tidak boleh memberi manfaat kepada orang lain.. sehingga akhir waktunya di dunia, Morrie masih memikir untuk memberi sesuatu kepada manusia sekeliling.


'Pengaruh seorang guru adalah abadi, dia tidak akan tahu bila pengaruhnya akan berakhir' Henry Adams

Maka lahirlah... sebuah tesis terakhir tentang kehidupan.. Tuesdays with Morrie (movie)



0 respons: