Teman Bicara

Sunday, January 18, 2009

Hempedu Semanis Madu

Koff !! Koff !! Koff!!

Terasa sesak ruang udara tatkala berbondong-bondong gumpalan debu berasak ke ruang pernafasan. Maklumlah, sudah berkurun tidak menyelak khazanah yang entah sejak bila bertapuk di situ. Membuka kotak-kotak lama untuk direstruktur semula, penapis hidung menjadi teman setia. Bersama sehelai kain lap yang lembap, berfungsi untuk menyahdebukan khazanah yang bersepuh tebal. Hatta inchek lipas pun gerun untuk membina penempatan di situ.


Sedang lincah jemari berkerja, bebola mata menangkap kelibat 'raja segala khazanah' yang terletak kemas. Berbalut debu, warna merunnya tak lapuk dek masa. 2003. Tangan meneruskan pencarian. Jumpa. Berwarna biru, 2002.Lalu helaian kusam itu diselak satu persatu. Menggamit memori tawa dan duka bergelar seorang pelajar. 'Back to school' kata orang puteh.




* * * *




'Nyah saja dari sini atau keadaan akan bertambah runcing'

Saranan sahabatku dituruti, kaki melangkah longlai bersama sisa air mata yang berjujuran lebat.

Sakit. Sakit amat apabila berdepan dengan perang mulut yang tidak berkesudahan. Lebih parah lagi, ia terjadi akibat salah faham. Sudah terhantuk ditimpa tangga, yang berpaling itu pula merupakan sahabat yang paling akrab.


Cikgu Azmi. Tempikan suaranya sahaja mampu membangkitkan remang roma. Namun percayalah, hatinya tulus sejernih fitrahnya malaikat. Hidupnya, masanya, cintanya, hanya tertumpah pada para pelajar yang langsung tidak jemu berusaha untuk memeningkan kepalanya.


Akrabnya aku dengan Cikgu Azmi memang sudah diketahui umum. Berpijak di perantauan buat pertama kalinya dalam hidupku, menemukan aku dengannya. Guru yang boleh diajak bersenda, penuh dengan lelucon malar segar. Guru yang boleh aku menarik muncung empat belas dengannya lalu dia memujuk lembut. Juga guru yang aku jadikan pakar rujuk dalam setiap urusanku. Akrab, namun masih menjaga keterbatasan seorang pelajar dengan mursyidnya.

Mursyidi. Siapa sangka keakraban itu sirna hanya kerna salah sangka? Berakhir dengan perang mulut. Noktah. Aku dengan duniaku, dia diulit urusannya. Aku kehilangan tulang belakang yang selama ini mengampu semangatku. Terasa dunia seakan tiba di penghujung. Resah. Gundah. Kesal. Hampir saja aku tersembam ke bumi, pasrah dengan takdir Ilahi.

Tertawalah. Tertawalah jika kau menganggap aku terlalu beremosi. Tatkala tulang rusukmu sendiri berpaling, baru kau tahu bagaimana deritanya hati ini. Terkapai-kapai mencari dahan untuk berpaut. Satu dunia seakan memandang lekeh kewujudanku, mengecam tindakanku. Seantero sekolah berita itu tersebar luas. Kecaman-kecaman yang merejam emosi, kian menyesakkan pundakku. Ya, aku dikecam seluruh penghuni sekolah. Cikgu Azmi bukannya kesayangan aku seorang sahaja.


Selepas kejadian, dua minggu lamanya aku tidak menjamah makanan. Sekadar mengisi mana yang perlu. Itupun setelah berbakul-bakul dibebel oleh teman yang prihatin. Suhu badanku meningkat mendadak. Seminggu lagakku bagai mayat hidup. Dengan wajah yang pucat lesu, suhu badan yang melebihi paras normal, aku disahkan demam. Hampir aku mengambil keputusan untuk menutup lembaran hidupku di situ lantas mencari lubuk yang lain untuk menimba ilmu. Patah semangat untuk meneruskan langkah. Terasa kelam masa depan ku di sini.


Tersungkur tanpa bangkit kembali. Itulah kegagalan yang paling tragis sebagai makhluk yang dikurniakan akal dan diangkat menjadi Khalifah oleh Yang Khalid. Bangkit dari kejatuhan, itulah kekuatan sebenar seorang pejuang. Aku memilih untuk menjadi pejuang, berbanding hina sebagai Khalifah bacul. Aku bangkit dari lembah yang paling gelap, mencari sejalur sinar untukku bernafas. Telan sahaja pahitnya, manisnya akan ketemu jua nanti. Itu prinsipku.



* * * *



Mata yang mencerlung marah menikam hati. Merah. Hanya menungu masa untuk menerkam mangsa. Aku bagaikan tikus kecil yang berdepan dengan hari pengadilan oleh raja rimba. Sahabatku yang lazimnya sejinak merpati, bertukar menjadi singa betina. Aku sudah maklumkan akan sifatnya yang agak baran namun ini kali pertama ia berlaku di depan mata.

'Kau yang cuai. Salah kau, eya' bagai halilintar membelah bumi Zai menjerkah. Gema suaranya terpasak ke hati.

Kolam mata yang ditahan sekian lama, melirih jua. Sakit. Terasa hati dirobek-robek dan disiat tanpa belas. Oh, sahabat. Sudah aku mohon keampunan. Sukar agaknya menerima maaf tika amarah memagar akal.

Zai mendengus dan berlalu pergi.

Panggg !!!!

Bunyi pintu dihempas kasar. Bertambah lebat air mata berjujuran. Terasa dunia kiamat sebentar. Zai sahabatku yang akrab. Teman di kala suka dan duka. Ya,aku yang menemaninya. Dia? Perlukah aku membuat penilaian? Apa yang pasti, saat ini aku terasa hatiku yang dicucuk-cucuk dengan jarum halus. Lalu meleleh perlahan darah berwarna merah pekat. Terasa siksanya lebih azab berbanding terus dipancung kepalaku dengan belati si Laksamana Sunan. Redha.

Aku terus berusaha mencari. Seingatku, memang di sini ia terletak. Sedang ralit meraba saku beg sekolah Zai, tangan tersentuh sesuatu. Keras. Tebal. Apabila tersentuh wayar yang berselirat, hati melonjak gembira lalu objek tersebut dikeluarkan. Sah. Memang itu 'walkman' Zai yang dikatakan hilang kerana kecuaianku.


Perasaanku? Gembira. Lenyap sudah asbab pertelingkahan ku dengan sahabatku, Zai. Sedih. Pertelingkahan itu berpunca dari ketidaktelitiannya mencari. Marah. Aku membenci diriku yang cuai.

Positifnya, aku bersyukur. Tuhanku menguji kami sebenarnya. Menutup pandangannya untuk menguji siapa dia dan siapa diriku.

'Sebelum bersahabat, ujilah sahabatmu dengan kemarahan. Jika mampu ia berdamai dan memaafkanmu malah menahan marah kerna kamu sahabatnya maka memang benarlah, dia sahabatmu.'

Entah di mana aku mendengar kata-kata itu. Tersisip kemas dalam lipatan memori malah menjadi panduan diri. Bukan untuk membezakan siapa di sekelilingku adalah sahabat tetapi untuk menilai diri ini; Aku sahabat kepada siapa?



* * * *



Diari kusam dikatup perlahan. Menangis? Sudah terasa kering air mata. Sejak keluar dari dunia rahim ia dirembes keluar tanpa hent. Sedih? ya, aku sedih. Ironinya, aku tersenyum. Lalu tertawa. Sungguh, aku tertawa.


Tertawa melihat kejahilan sendiri, kerap sangat dipasung emosi. Tidak salah jika ingin menangis tapi percayalah, tangisan itu yang akan kau tertawakan suatu hari nanti. Tatkala ia berlaku, sakitnya sepahit hempedu. Itu fitrah. Tatkala ia berlalu, tiliklah ia dengan akal. Akan kau temui manisnya di mana. Merenung kejahilanku yang acapkali memberatkan perkara dunia, hanya mampu aku menggeleng.


Dunia. Bukankah ia sememangnya ujian?

Terujikah aku?

Ya, aku teruji.

Luluskah aku?


Wallhu'alam. Hanya Tuhanku yang lebih mengetahui.

[+/-] Teruskan pembacaan...