Teman Bicara

Showing posts with label Fantastic Films. Show all posts
Showing posts with label Fantastic Films. Show all posts

Monday, November 29, 2010

Guru Sehingga Akhir Hayat

Tuesdays With Morrie - Selasa Bersama Professor Morrie (buku)

Morrie - sorang profesor tua yang berhadapan dengan pelajarnya dalam bersahaja. Menganggap para pelajarnya sebagai sahabat yang ingin berkongsi sesuatu, beliau lebih mewujudkan suasana 'perbincangan' berbanding kuliah rasmi. Sifatnya yang sangat disenangi menjadikan Morrie sebagai tempat rujukan utama dalam beberapa perkara, termasuk isu-isu yang langsung tidak ada kaitan dengan kuliahnya. Keterbukaan si profesor tua ini untuk menerima sesiapa sahaja dalam rutin hariannya, ditambah dengan sifat 'pendengar setia' yang sememangnya sebati di jiwa, menjadikan Morrie seorang guru berjiwa pelajar.

Mitch n Morrie - movie version
'When U know how to die, u know how to live'

Mitch Albom - Merupakan salah seorang pelajar Morrie yang berjaya dan rapat dengannya. Morrie sentiasa menjadi tempat rujukan baginya dalam segala urusan hidup. Pada hari akhirnya bergelar mahasiswa, Morrie mendakap tubuh Mitch sambil berkata 'Adakah kita akan saling berhubung?' Tanpa lengah Mitch menjawab 'Sudah tentu'
Namun, kehidupan tidak semudah yang disangka. Mitch hanyut, seperti kebanyakan manusia. Dihempas-hempas oleh arus perubahan dunia, mereka terputus hubung. Mitch yang berkerja sebagai pelapor berita sukan, sibuk dengan keduniaan yang tidak pernah puas dengan suatu apa pun. Sedangkan Morrie masih ditakuk lama, bersama cara pemikirannya yang sama.

Amyotrophic Lateral Sclerosis (ASL) adalah sejenis sakit saraf yang meragut ketangkasan Morrie. Ya, Morrie seorang profesor tua. Namun, anggota tubuhnya masih tangkas, sebelum beliau diserang oleh penyakit yang membunuh seperti lilin itu. Mencair, sedikit demi sedikit. Dari aras bawah, kaki sehingga ke atas, kepala. Malah, mungkin juga tidak sempat sampai ke kepala, hanya singgah di aras jantung dan paru-paru, membuatkan dua organ penting ini terhenti lalu, menghembuskan nafas terakhirnya.

Morrie yang asalnya ialah seorang yang suka akan muzik, beliau menari sesuka hati apabila terdengar muzik. Di sebuah dewan tari yang luas, berisi para remaja yang ramai, Morrie menari mengikut rentaknya sendiri. Morrie memakai T-shirt biasa, berseluar sukan dengan sehelai tuala kecil yang disangkut di leher, beliau menari mengikut gerak hati. Beliau akan melompat, berpusing, memutar-mutarkan badan, sehingga peluh membasahi tubuhnya. Biar mereka sangka, si tua tiga suku ini mungkin sudah kebosanan dengan hidup. Hakikatnya, beliaulah si guru cerdik yang mahir tentang kehidupannya.

Sejak disahkan mengidap penyakit 'lilin' (ALS), Morrie sudah tidak betah menguruskan diri. Saraf-saraf tubuhnya mula kejang, tidak menunjukkan respon yang sepatutnya. Ia bermula dari kaki. Kelincahan Morrie dirampas. Semakin lama, tubuhnya semakin hilang upaya dek penyakit tersebut. Kisah Morrie yang menunggu saat kematiannya mendapat perhatian seorang pemberita lalu ingin menyiarkan kisahnya dalam rangkaian berita mereka.
'Mereka mempergunakan kamu Morrie, untuk kepentingan mereka'
'Ya, saya juga mempergunakan mereka. Saya gunakan mereka untuk menyampaikan nasihat dan ilmu kepada seluruh pelosok dunia'
Itu lah Morrie, masih ingin memberi dalam keterbatasan fizikalnya yang ketara.
'Jika saya tidak mampu membantu kamu melalui kekuatan saya, terimalah kekuatan minda dan ilmu saya, jika ia dapat mebantu kamu'


Akhirnya, Mitch mengambil keputusan untuk bertemu Morrie. Di rumah Morrie, di atas kerusi rodanya. Sering mereka bertemu di hadapan tingkap, di sudut bilik bacaan Morrie yang penuh dengan buku-buku ilmiah. Pertemuan kali pertama mengimbau kembali nostalgia mereka. Syarahannya tentang kehidupan, kian diperkukuh dengan persediaanya menghadapi kematian. Kerna kedahagaan Mitch tentang aturan kehidupan, pertemuan pertama berlanjutan sehingga ke pertemuan-pertemuan berikutnya. Hari Selasa. Ya, mereka orang hari Selasa. Itu yang telah mereka tetapkan. Hari Selasa sebagai hari konsultasi penyediaan tesis terakhir mereka, tentang kehidupan.


Semua manusia yang punya akal mengakui, mereka tidak kekal lama di alam maya ini. Namun, pengakhiran kehidupan di dunia (yakni kehidupan selepas mati) adalah mengikut kepercayaan masing-masing. Yang penting, semuanya percaya kita pasti mati. Noktah. Ironinya, manusia paling takut dengan kematian. Terutamanya di negara-negara maju yang pesat dengan aktikiti-aktiviti harian yang beragendakan wang ringgit. Isu kematian telah lama dilupakan sehinggakan mereka sanggup berbayar berjuta-juta dolar hanya untuk belajar tentang mati. Kerana siatuasi terdesak seperti ini, Morrie difokuskan sebagai satu jambatan penghubung antara mereka dengan kematian. Kerna, Morrie menuju ke arahnya, kematian.

Jika anda mengetahui bahawa anda akan mati dalam suatu jangka waktu, apa yang akan anda lakukan? Menangisi nasib sehingga bengkak mata? Atau ingin mencuba semua nikmat dunia sebelum ditarik nyawa? Bagi Morrie, beliau ingin menyumbang sebanyak mana yang beliau mampu sebelum berdepan dengan kematian. Dengan keterbatasan fizikalnya yang sangat fakir tenaga, beliau mengajarkan manusia-manusia hidup ini, tentang kehidupan. Semakin hampir beliau dengan maut, semakin beliau memahami tujuan hidup. Beliau bersyarah tentang Kasih sayang, menghargai diri, tentang dunia, tentang cinta yang berkekalan, tentang menyusuri umur tua .... tentang bagaimana perlu meraikan hidup...
Tiap detik terakhirnya menyedut udara di bumi ini, beliau menikmati kehidupannya dalam kepayahan yang nyata. sedangkan betapa ramai manusia di luar sana yang merayu-rayu 'Oh Tuhan.. oh Tuhan.. ambil nyawaku'
Hanya kerna peristiwa-peristiwa hidup yang rutin dan sedikit sakit, mereka ingin meninggalkan dunia ini. Sungguh rugi, menurut Morrie.


Guru Sehingga Akhir Hayat - itu adalah kalimah yang ingin dipasakkan oleh Morrie pada batu nisan nya nanti. Kerna sifatnya yang sentiasa memberi, dengan dayanya yang tersendiri. Itu lah sifat seorang guru.

'Tidak semua manusia bertuah seperti saya' kata Morrie.
'Bertuah? Tuan rasa bertuah dalam keadaan begini?' ternyata Mitch tidak dapat menangkap.
'Bertuah saya, saya mengetahui hayatnya saya. Saya mengetahui, maut sedang menjengah. Bila-bila saja, ia akan tiba. Saya bersedia. Sebelum dia menjengah, saya lakukan sebaik mungkin untuk orang sekeliling saya. Isteri saya, anak-anak saya, sahabat-sahabat saya. Saya tinggalkan sesuatu untuk mereka sebelum saya pergi. Sungguh bertuah bukan?'
'Bertuah?' masih dalam persoalan, kerutan dahi Mitch.
'Ya, bertuah. berbanding mereka yang tiba-tiba meninggal dunia. Tidak sempat mengucap maaf, tidak sempat memaafkan diri. Tidak sempat berbakti, tidak sempat menyempurnakan banyak perkara' jawab Morrie.
'ya, memang bertuah'

Apabila kamu melihat masalah dari perspektif yang unik, kamu akan menjadi sebahagia Morrie.


Apabila berbicara tentang penyesalan, kesedihan... Morrie berkata...
Kamu masukkan perasaan kamu itu sepenuhnya kemudian, tinggalkan ia. Pabila kamu rasa sedih, alamilah ia sebenarnya. Mengangis lah, jika kamu mahu mengalirkan air mata. Biar kamu berkenalan dengan perasaan yang seperti itu. Kemudian, lepaskan ia.
'Baik, ini lah rasa sedih. Saya sudah kenal maka saya akan tinggalkan kamu' begitu kata Morrie..
Bersedih ada waktunya. Bagi Morrie, pagi adalah waktunya untuk bersedih. Akan menangis dia, sepuasnya. Kemudian, dia tinggalkan rasa sedih tersebut dan memulakan hidup pada hari tersebut seperti biasa.

Tahukah kamu, apa yang paling digeruni oleh Morrie? Morrie paling takut jika dia kehilangan suara dan gerakan tangannya. Dia menggunakan tangan untuk memberi isyarat dan menggunakan suara untuk menyampaikan sesuatu. Jika dia kehilangan suaranya, tangannya masih boleh digunakan untuk menyampaikan. Jika dia kehilangan kedua-duanya, dia sudah tidak boleh memberi manfaat kepada orang lain.. sehingga akhir waktunya di dunia, Morrie masih memikir untuk memberi sesuatu kepada manusia sekeliling.


'Pengaruh seorang guru adalah abadi, dia tidak akan tahu bila pengaruhnya akan berakhir' Henry Adams

Maka lahirlah... sebuah tesis terakhir tentang kehidupan.. Tuesdays with Morrie (movie)



[+/-] Teruskan pembacaan...

Thursday, May 14, 2009

Taare Zameen Par (Like Stars on Earth)




Kisah seorang kanak-kanak yang terperangkap dalam dunia yang tidak sehaluan dengannya. Memandang dunia dari perspektif yang unik, berbeza dari stereotaip normal. Kanak-kanak ini menghadapi masalah pembelajaran. Betapa rendah kecekapan otaknya mentafsir huruf dan abjad. Kurang kebolehan dalam membaca dan mengira, antara aspek penting yang dipandang masyarakat. Di sebalik kebebalannya yang sering dilihat sebagai kedegilan, Ishaan punya bakat terpendam yang bakal menggegar manusia sejagat. Tatkala tangannya bergelumang dengan warna, dialah juara. Ishaan punya imaginasi yang tak terbatas oleh ruang dan waktu, bakat mahaguru seni yang terperangkap di dalam tubuh kecil berumur 9 tahun. Namun, bakatnya hanya dibakul sampahkan oleh kedua orang tua.




PERANAN GURU

Aamir Khan merupakan pelakon utama kisah ini. Bekerja sebagai guru di sebuah sekolah kanak-kanak istimewa, Nikumb turut menjadi guru ganti di sekolah lain. Takdir mengatur mereka untuk bertemu. Kekakuan Ishaan di dalam kelas, memancing minat Nikumb untuk mendalaminya. Nikumb mengajar subjek seni lukis, subjek yang sering dipandang remeh. Tidak tercatit di dalam slip peperiksaan, itu kata mereka. Nikumb cuba menarik kembali keghairahan kanak-kanak untuk berseni. Beliau meniup samboyan

‘Seni penawar hidup’





Dikesempatan beliau bergaul dengan kanak-kanak, Nikumb turut berusaha meneroka peribad Ishaan. Mengkaji permesalahannya, menjelajah pemikiran dan dunia mayanya. Ishaan; seorang kanak-kanak yang telah putus harap dengan kehidupan. Membenam keinginan diri untuk memenuhi tuntutan dunia. Namun pertemuannya dengan Nikumb meraih kembali rasa percaya pada diri. Bakat Ishaan dirai, sedang kemundurannya dalam subjek lain dibimbing sepenuhnya. Berbekal pengalaman mengurus kanak-kanak istimewa, Nikumb tabah membimbing Ishaan. Dari seorang kanak-kanak yang sering menyusup diri, Ishaan semakin dikenali sebagai pelukis cilik yang berbakat.



‘Guru yang baik ialah guru yang mampu melahirkan pelajar yang hebat sepertinya atau lebih hebat daripadanya’



Ishaan mendahului Nikumb dalam pertandingan melukis terbuka.






IBU BAPA

Semua ibu bapa punya impian yang tersendiri dan mengharapkan anak-anak memikul impian mereka. Memegang prinsip ‘Prepare for the outside world’, majority ibu bapa terlalu terpengaruh dengan arus dunia yang menggila. Mengharapkan anak-anak mereka mengejar dan bersaing di dunia luar. Memang tiada salahnya matlamat ini. Namun dalam keghairahan kita mengikut stereotaip jagat, sering kita mengenepikan keperluan jiwa anak itu sendiri. Ibu bapa Ishaan sering kecewa dengannya kerna tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam mata pelajaran wajib. Mereka menganggap akademik adalah penentu mutlak hidup anak tersebut sehingga kehendak naluri anaknya sering dipinggirkan.


Sekolah berasrama, permainan sukan yang hebat, kemahiran komunikasi yang mapan…. Pattern itu yang sering dikejar-kejar. Pekerjaan sebagai doktor, jurutera, arkitek…. menjadi bayangan masa depan. Sedangkan setiap manusia punya kebolehan serta keperluan yang berbeza. Setiap kanak-kanak itu unik dengan caranya yang tersendiri.


Prihatin. Semua ibu bapa prihatin terhadap anak mereka. Keperluan hidup, pembelajaran, keselesaan, diberi autoriti. Namun, keperluan yang sering kita terlepas pandang ialah keperluan emosi mereka. Prihatin maksudnya menyentuh, membelai, ungkapan nasihat yang membenih rangsangan, bukan berbaur makian yang hina mahupun bersifat ledakan amarah. Prihatian yang sekadar bersifat material itu lah yang akan membunuh emosi anak-anak kita lantas jiwa mereka terkapar mati. Hanya jasad yang bernyawa sedang perasaan mereka punah sama sekali.


Tragedi kemusnahan aroma zaman kanak-kanak menghantui hidup Ishaan. Ishaan berhenti melukis, gara-gara emosinya yang kacau. Muram, bersedih, tidak berminat dengan hidup antara simptom-simptom perasaan yang punah dihenyak obsesi arus global. Mujur masih ada manusia yang sudi mendengar berbanding menghakimi.



Seperti biasa, lagu yang melekakan bersama aksi poyo Hindustan yang kadang memualkan tekak. Ana memang sedikit alah dengannya. Namun, ketepikan semua ini. Cedok pengajaran dan intipatinya. Tentu anda akan menemukan sesuatu yang tidak ternilai harganya. Cerita ini cerita lama yang baru ana temukan keindahannya. Cerita yang punya keistimewaan tersendiri, tanpa taria-tarian wanita separuh bogel mahupun lenggok-lenggokkan ala clubbing. Tiada adegan bergocoh (bergaduh) sehingga menghambur darah, mahupun watak polis jahat dengan misainya yang sering dipintal-pintal. Juga tiada skrip cinta terhalang serta aktiviti merasuah sehingga berjuta-juta kror …… ^^

Memang menarik n_n



[+/-] Teruskan pembacaan...