Menulislah dengan hati, tintanya membekas di hati juga
Nota Hati Seorang Lelaki- Penulis menggarap kisah hidupnya, juga kisah hidup manusia lain, menjadi desis hati yang terluah. Ilmu itu, datangnya dari dua sumber; buku dan pengalaman. Faisal Tehrani menyarankan 'Kamu ingin menulis? Jangan langsung berpisah dengan buku'. Manakala Tuan Pahrol pula berkata 'Belajarlah dari universiti kehidupan'
Aliran ilmu umpama aliran air. Air sentiasa mengalir dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Lebih rendah suatu tempat itu maka, semakin banyaklah air yang mampu ditakungnya. Justeru, lembah dan lurah sering bertukar menjadi tasik atau sungai. Maka begitu ilmu, perlu ditakung dengan hati yang merendah diri
Teringat pula sesi muzakarah
'Bukankah hidayah itu milik Allah?' ana bertanya
'Ya' ringkas jawapannya
'Allah berikan kepada hambaNya yang terpilih?'
Senyap. Tiada sebarang tindak balas.
'Adilkah?'
Tetap saja senyap. Menyambung lagi.
'Umpama begini. Saya ada beberapa tiket untuk masuk ke panggung. Saya berikan tiket tersebut, hanya kepada orang-orang yang terpilih. Kemudian, hanya orang-orang yang terpilih itu sahaja yang dapat masuk ke panggung. Bagi mereka yang tidak dapat tiket, langsung tidak dapat menjejak kaki. Adilkah jika saya menghukum orang yang tidak dapat masuk ke panggung itu?'
Ana padankan dengan persoalan ana...
'Hidayah adalah milik Allah, Dia berikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Sesiapa yang dikurnia, dapat meneguk nikmatnya syurga. Yang tidak peroleh hidayahNya, tetap saja berada dalam kekafiran. Kemudian, Allah hukum pula mereka kerna kekafiran tersebut'
Terhenti di situ. Berat untuk menutur 'Adilkah?'
Soalan yang sangat bahaya, cukup lama bersarang di hati ana. Bukan sebarang orang yang layak menjawabnya. Silap arah tunjuk, sesat tidak kembali. Akhirnya, sahabat bersuara...
'Pemikiran tersebut, tidak salah. Yang salah ialah konsep pemahamannya'
Berkerut, memberi ruang penjelasan lanjut.
'Hidayah adalah petunjuk. Ya, ia milik Allah. Allah berikan kepada yang terpilih? Tidak. Allah berikan kepada semua. Yang menerimanya sahaja akan terzahir hidayah itu'
'Yang menerima? Semua orang menerimanya. Siapa pula yang tidak menerima, jika diberi hidayah' kaget ana.
' Allah memberi hidayah, yakni petunjuk, melalui hamba-hambaNya. Ia hanya akan terzahir bagi mereka yang ingin menerima'
Kepala sudah pusing, pening-pening lalat.
' Setiap kejadian dalam hidup kita, itu adalah takdir Allah. Allah merancang, kita berdepan dengan situasi-situasi tertentu. Itulah hidayah, yakni petunjuk mahupun teguran dari Allah. Hanya akan terzahir oleh mereka yang ingin berfikir tentang hikmah setiap kejadian.'
Senyap. Dia menghela nafas.
'Setiap kejadian yang berlaku dalam hidup kita, adalah aset. Setiap manusia di sekeliling kita, juga adalah aset. Daripada mereka, kita belajar dan peroleh sesuatu. Melalui itulah, Allah berikan petunjuk buat kita. Melalui makhlukNya, Allah mentarbiyah kita'
Mencuri nafas.
'Seorang pencuri yang mengkhianati kita, mengajar kita erti sabar dan redha. Seorang pemarah, mengajar kita erti hemah dan memahami. Begitulah Allah mendidik kita, melalui perantara hambaNya. Ia petunjuk buat kita. Hanya akan terkesan oleh orang-orang yang MAHU BERFIKIR'
Rehat sebentar. Sambungnya lagi...
'Jadi, semua manusia diberi hidayah dan petunjuk, untuk mentarbiah diri. Namun, bukan semua ingin memikirkannya walaupun hakikatnya, mereka boleh berfikir. Lantas, tidak semua menerima hidayah tersebut. Allah telah memberi, mereka yang tidak mahu menerima lalu, Allah hukum mereka yang berdegil itu. Adil, bukan?' Tersenyum.
Mata ana berkaca. Sungguh, Allah memberi hidayah melalui sahabat ini. Aqidah ana, dipasakkan cerucuk besi. Sahabat itu menyambung,
'Makanya, ambillah pengajaran dalam setiap perkara yang berlaku. Sama ada ia berlaku kepada diri kita, mahupun ke atas orang sekeliling kita. Ia merupakan petunjuk dari Allah. Itu adalah hidayah. Berfikirlah, tentu kau temui jalan itu'
Mungkin kerana itu ana pernah terdengar, berfikir sesaat itu lebih baik dari solat sunat seribu rakaat. Mungkin juga 10 ribu rakaat, bergantung kepada intipati pemikiran tersebut.
Begitu jugalah konsep yang cuba diterapkan oleh penulis buku ini, Tuan Pahrol Mohd Juoi. Mencari hikmah dan hidayah dari setiap aset dalam hidup beliau.
Orang yang cemerlang akan belajar dari kesilapan sendiri. Orang yang terbilang belajar dari kesilapan orang lain
Nota hati seorang lelaki - inilah pencetus bentuk pemekiran penuh hikmah, merenung perkara biasa untuk menemukan sesuatu yang luar biasa. Lalu, menginsafinya melalui kerendahan hati. Itulah ilmu kehidupan.
Cintai mati, untuk hidup hakiki...
p/s: Salah satu ayat beliau yang menarik perhatian ana,
Penulis perlu lebih banyak membaca daripada menulis
Ironi. Namun, itu benar. Terkenang pula hasil tangan Andrea Hirata, Edensor. Menelaah tulisannya, membuat ana berfikir
'Andrea itu, banyak membaca atau kerap berkelana?'