Teman Bicara

Friday, September 16, 2011

Beduk Diketuk Mesej Dirujuk



Alhamdulillah... setelah lama menyepi dan hampir terlupa pada salah satu sumber jariah ini, Allah swt memberi diri kekuatan untuk menyambung perjuangan. Perjuangan yang tidak pernah luput, cuma terkadang sinarnya sedikit malap. Setelah berbulan-bulan jemari ini berhenti menari-nari di atas papan kekunci, Allah swt masih membenarkan usaha yang sedikit ini diteruskan sehingga ke hari ini. Allahuakbar..


Selesai memenuhi undangan rumah terbuka salah seorang guru, saya tergerak hati untuk melanjutkan langkah ke bandar Teluk Intan tanpa sebarang tujuan yang khusus.
Sudah tahu berjalan tanpa arah tujuan itu boleh menggelapkan hati, masih ingin melakukannya. Manusia.
Tetapi ternyata ia tidak sia-sia. Perancangan Allah swt tidak kita ketahui rahsianya sebelum tiba masa. Rupanya Allah swt ingin menemukan saya dengan salah satu sumber ilmu yang hebat, sebuah buku yang memetik kisah kehidupan dijadikan bahan kupasan minda.

Saya berpegang kepada prinsip sumber ilmu, buku dan pengalaman. Melalui pembacaan, kita memperoleh ilmu. Begitu juga dengan pengalaman. Namun hidup ini adalah terlalu singkat untuk kita berdepan dengan segala seribu perkara untuk mencipta pengalaman sendiri maka, perkongsian pengalaman dengan manusia-manusia lain juga boleh dijadikan salah satu sumber ilmu untuk kita.

Perjalanan saya ternyata tidak sia-sia. Sebuah buku sempat saya capai (sebenarnya beberapa buah, walau masih banyak buku yang belum sempat dikhatamkan)



Saya mengemari tulisan-tulisan Tuan Pahrol kerana ia lebih dekat di hati. Beliau sering mengulas berdasarkan pengalaman beliau mahupun pengalaman yang diceritakan kepada beliau. Kemudian, kisah-kisah tersebut dikupas mengikut kacamatanya.
Tulisan beliau mendapat tempat di hati pembaca kerana paparan kisah kehidupan seolah terkena tepat atau sipi-sipi dengan pengalaman pembaca sendiri, ia lebih bersifat common sense. Begitulah sifat didikan yang sewajarnya diamalkan. Memberi prinsip dan konsep berasaskan sesuatu yang dekat dengan realiti amalan harian kumpulan yang ingin dididik. Berasaskan prinsip ini, tulisan Tuan Pahrol semakin menjadi pilihan utama para pembaca.


Teringat pesan seorang sahabat,

'Hidayah Allah swt ada di mana-mana. Cumanya mata hati manusia yang buta tidak dapat melihat apatah lagi menekuninya'

Setiap perkara yang berlaku, ada prinsip disebaliknya. Hanya mereka yang berfikir dengan iman dapat melihat hikmah disebalik sesuatu\. Selepas Nota Fikir Untuk Zikir, Tuan Pahrol menghasilkan wacana ilmu 'Beduk Diketuk' untuk dikongsi bersama.

Apabila beduk diketuk, ia merupakan satu tanda amaran atau peringatan kepada umat sekitar. Mungkin tanda masuknya waktu solat, atau pemberitahuan tentang berlakunya kematian, mungkin juga amaran akan hadirnya bencana dan bahaya. Pelbagai pihak akan timbul dengan seribu satu reaksi terhadap beduk yang diketuk ini. Ada yang terkejut, melenting, bersahaja malah ada juga yang masih lagi lena dalam khayalan-khayalan fantasi dunia sementara.
Buku ini mengupas peristiwa-peristiwa kehidupan yang sering dianggap remeh, malah sedar atau tidak sering berlaku malah lebih kerap diabaikan oleh masyarakat sekeliling kerna kurangnya wujud kesedaran untuk berfikir serta menekuni setiap 'teguran-teguran Allah swt' melalui saluran makhluknya yang lain. Persoalan-persoalan yang dianggap remeh namun besar impaknya kepada masyarakat, padat dimuatkan di dalam buku ini. Kisah-kisah tauladan yang diberikan nafas baru dalam bahasanya yang santai, lebih mudah difahami oleh masyarakat yang berbeza aras ilmu pengetahuan serta kefahaman.

Buku Beduk Diketuk mengupas kisah-kisah yang dipandang remeh namun punya falsafah yang besar disebaliknya. falsafah-falsafah itulah beduk yang diketuk untuk menyedarkan ummat betapa selama ini kita lalai dan leka dengan perbuatan tanpa pemikiran. Persoalan membidaahkan ummah, mengasak nas dan dalil, bertelagah perkara ranting, dan pelbagai isu yang dibincangkan dalam gaya yang bersahaja mampu membuat pembaca tersenyum sendiri. Teguran yang sinis dalam lembut, InsyaAllah mampu membuka mata hati yang terlena sekian lama. Orang yang bijaksana akan lebih terkesan dengan bisikan berbanding jeritan.

Alhamdulillah, 1/3 daripadanya sudah saya hadam. Bersemangat untuk meneruskan pembacaan. Semoga sahaba-sahabat turut menikmatinya nanti...


[+/-] Teruskan pembacaan...