Teman Bicara

Saturday, November 1, 2008

.:: Berhikmah Dalam Muhasabah ::.



‘Tidak salah jika kamu ingin melempiaskan kata hati, berundung duka mengenang sesuatu’


‘Jadi?’ balasku... Kaget sebentar.

‘Yang salahnya ialah jika kamu berduka kerna hal dunia’

‘Apakah kesedihan dihenyak rasa bersalah itu dikira hal dunia?’

‘Aku sendiri tidak tahu, sahabatku. Ayuh, komentarkan apa yang menyesak kalbumu’

Senyap bagai malaikat lalu. Bunyi jarum yang jatuh ke lantai pun ku kira jelas kedengaran.

‘Sahabat, tiada insan yang mampu mendabik dada mengaku kesempurnaannya’ sambungnya bila tiada suara yang menjawab.

‘Tapi aku benci diriku yang sering leka, kerap terlajak laku lalu mencemar hati insan di sekelilingku’

‘Kau gusar mengenang silapmu?’


‘Tentu sekali’

‘Kau tahu Tuhan sifatNya Maha Pengampun?’

‘Aku sedia maklum. Namun yang pasti, aku sendiri tidak mampu maafi diri ini’

‘Maksudmu?’

‘Bila saja aku terkenang lenggok laku ku yang penuh dengan kebrobokannya, aku jadi penasaran. Dihimpit rasa bersalah, rasa berdosa’

‘Kau tahu mengapa Allah jadikan kepala kita hanya mampu menoleh sekilas ke belakang? Tidak berpusing 360º?’

-Senyap –

‘Kau tahu mengapa Allah jadikan leher kita sakit jika terlalu lama merenung ke belakang?’

- Masih senyap-

‘Kau tahu mengapa Allah jadikan mata kita letaknya di depan? Bukan di belakang?'

- Tetap saja senyap. Sekadar terdengar helaan nafas singkat-

‘Allah jadikan kepala kita sebegitu kerna tidak salah jika kamu ingin merenung diri, muhasabah kehidupanmu untuk pembetulan akan datang. Untuk kau perbaiki di hari muka. Malah Allah cintakan hambaNya yang gemar sekali bermuhasabah kerna dari situ ia mencambah azam untuk tidak mengulangi salah silap. Ironinya, mengapa Allah tidak jadikan kepala kita mampu berputar 360º, kan? Bukankah lebih mudah untuk kita menoleh?’

Mengangguk. Ah... bukannya dia melihat aku mengangguk. Sekadar mendengar suara di talian hubung.

‘Jika kita menoleh ke belakang terlalu lama, leher kita akan sakit, bukan? Hidayahnya, Allah mahu tunjukkan kepada hamba-hambaNya yang berfikir, betapa sakitnya diri bila terlalu mengenang masa lalu. Allah cintakan hambaNya yang sering merenung diri, mengambil pengajaran setiap perilakunya yang hodoh di masa silam. Namun, cukup setakat itu. Mengambil pengajaran agar tidak diulang. Usah dikenang selalu sehingga kau menyakiti dirimu sendiri, diseksa rasa menyesal sehingga tidak menikmati kehidupanmu’

‘Salahkah aku mengenang dosa?’

‘Tiada salahnya, sahabat. Tidak mengapa jika kamu ingin menoleh ke belakang, melihat dan mengabil iktibar daripadanya. Namun jika kamu menoleh terlalu lama, lehermu akan sakit, bukan? Begitu juga jika kamu terlalu asyik menghitung kesilapan, kekuatanmu menghadapi hari esok turut pudar. Semangatmu luntur. Sakit hatimu tak akan terubat. Jiwamu akan punah, tanpa harapan. Cuma penuh dengan penyesalan dan putus asa, rasa berdosa. Sahabat, pandanglah ke hadapan dan nikmatilah seribu satu rahmat yang Allah bentangkan buat kita. Namun, jangan lupa untuk menoleh sekala agar tetap kita sedar taraf kita sebagai hambaNya’

Tersedu mendengar bait kata kebesaran ciptaan Tuhan.

‘Allah tempatkan mata kita di hadapan, kan? Maka, pandanglah ke hadapan. Telusuri hari-harimu yang mendatang bersama kesyukuran. Rancanglah hidupmu bersama iman dan takwa. Usah dikenang waktu lalu yang mustahil untuk kita pungut kembali cebisan nostalgianya’katanya menutup bicara.

Dialah sahabat bagiku. Menempelak aku dengan caranya yang halus. Namun kesannya menusuk pangkal hati. Butir bicaranya yang bersahaja mampu menghembus pergi nestapaku lalu menguntum senyum tanda menerima. Menerima lompong-lompong diri seterusnya bersedia memperbaiki kelompongan itu.

‘Kenanglah dosa beriring rahmat Tuhan’



13 respons:

salam eya...suka baca post ni, entah siapa inspirasi eya untuk menulis artikel ni. Ya, memang Allah SWT yang memberikan idea ni pada eya cuma mungkin ada wasilahnya. Walau siapapun dia, ana turut tersentuh dengan nasihat yang diberikan.

wsalam... ya, memang benar ada penyokong di belakang tabir.. Macam dapat agak saja, ek?
Siapa lah agaknya, yer?
haha...

terduduk sebentar..

satu lompang sudah terisi..

terima kasih cikgu, teruskan mendidik bangsa.

Salam.entry ni buat saya sedikit tersentuh kerna kerap kali diri ini merenung masa silam.Ini kali pertama saya di sini.

Oh di telefon rupanya. Patutlah tak nampak semasa mengangguk. Hehe.
Begitulah bersahabat, saling mengingatkan.

Gambar terakhir itu cantik. Dapat dari mana?

p/s: Alahai blog ini tak boleh letak URL sendiri. Nasib baik ada ID wordpress.

bismillah..

Allah maha pengasih lagi maha penyayang..Allah sayang sekelian hambaNya

Pandanglah setiap kejadian penuh dengan kebaikkan..Insya Allah akan terungkai hidayah yang Allah cuba sampaikan..adakalanya, sesuatu yang remeh, tidak semestinya tiada manfaat..terpulanglah pada mereka2 yang mahu memikirkannya..salam.

Allah syang sekelian hambanya..

to nur syahidah
Merenung boleh... namun jangan ditenung hingga putus asa dengan hari mendatang.. ^^

to irfan...
aduh, tidak aku sedar akannya, irfan. Penghargaan buatmu..
Gambar tuh, aku curi di internet.. ^^

to anonymous
haha.. tak payah menyorok siapa kamu. aku tau saja dari lenggok bahasa mu. Kenapa memilih untuk menyorok identiti... ^^

Salam Cikgu Eya..

Nampaknya hasil muhasabah itu ada kematangan. Penulisan dan Blog anda buktinya. Bagus. Teruskan mencari erti nilai muhasabah yang diingini. Allah tidak membiarkan hambanya yang soleh terbelenggu dengan kebobrokan berpanjangan. Biar guruh kilat sabung menyabung, ribut taufan berputar ligat namun kelak pasti cahaya mentari itu muncul kembali.

Teruskan 'mendidik' bukan 'mengajar' cikgu.

p/s : Ada masa dtglah melontar idea bernas anda.

salam n peace to u cikgu...
tulisan yg bagus..touching gak...
setiap kejadian pasti ada hikmahnya..
cuma yg berlainan , cara kita melihat sesuatu..

to Ibnurashidi

Ana suka tulisan nta. Rasa macam terlalu jelas sehingga tak der per2 yg nek komen.. hehe

to Peacemaker

Ya, perlu melihat dengan akal.. Akan ana garapkan tentangnya tak lama lagi. InsyaAllah..

entry yg best..
ade gaye cam penulisan indon je..
cikgu ngaja subjek indon ke?
muahahaha...

haha... Inche lysam, nak blajo dr ana ker? ^^
Jom kite blaja bahasa Indonesia.. ^^