Teman Bicara

Tuesday, July 29, 2008

Nikmat Menjadi Insan Suci

‘Aku terima nikahnya, Nur Humaira Bt Abdul Rahim dengan mas kahwin, RM200 ringgit, tunai’ jawabku dengan sekali nafas. Sah sudah aku menjadi seorang suami. Pernikahanku berlangsung selepas sebulan aku bertunang. Aku mengenalinya sebagai sukarelawan di salah sebuah rumah anak yatim di Banting ketika lawatanku ke sana. Dia menjadi sukarelawan di rumah anak yatim tersebut untuk menghabiskan sisa-sisa cuti semesternya. Seminggu selepas pertemuan kami, aku merisik diri Humaira. Pertunangan kami tidak membawa erti yang terlalu mendalam, sekadar saling mengenal empunya diri secara lahiriah. Aku meletakkan sepenuh pergantunganku kepada Tuhanku untuk memilih permaisuri hatiku. Sukar juga aku menamatkan zaman bujangku memandangkan diriku yang agak pemalu dan kurang berkomunikasi dengan wanita. Tambahan pula pekerjaanku sebagai pegawai di Jabatan Agama Islam Perak turut membentuk peribadiku menjadi lebih terpelihara.





Aku memandang bapa mertuaku yang menjadi wali pernikahanku. Masih terngiang-ngiang suara bapa mertuaku, Haji Abdul Rahim yang menyampaikan khutbah nikah sebentar tadi.

‘Rumah tangga yang ideal menurut ajaran Islam adalah rumah tangga yang diliputi Sakinah (ketentraman jiwa), Mawaddah (rasa cinta) dan Rahmah (kasih sayang), Allah berfirman, ertinya :

‘Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu hidup tentram bersamanya. Dan Dia (juga) telah menjadikan di antaramu (suami, isteri) rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.
(Ar-Ruum:21).


Dalam rumah tangga yang Islami, seorang suami dan isteri harus saling memahami kekurangan dan kelebihannya, serta harus tahu pula hak dan kewajibannya serta memahami tugas dan fungsinya masing-masing yang harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sehingga upaya untuk mewujudkan perkawinan dan rumah tangga yang mendapat keredha’an Allah. Sebak. Terasa bahuku sarat dengan tanggungjawab yang tergalas sebagai ketua keluarga yang kubina. Akulah yang bakal mencorakkan syiar Islam dalam keluargaku, InsyaAllah.


Aku menghelas nafas dalam-dalam seraya bangun, bergerak menuju isteriku untuk upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin. Sekumpulan wanita yang mengelilingi permaisuri hatiku membuka laluan buatku. Beberapa orang sahabat mengiringi. Aku menghampirinya, memandang wajahnya yang tertunduk malu. Terasa dahiku berpeluh, dadaku berdebar bagai ingin pecah. Langkahku tidak teratur, rasa ingin tumbang. Namun aku gagahkan kakiku melangkah, berteleku betul-betul di hadapannya.

‘Assalamualaikum’ aku menyapa, mengikut sunnah.
’Waalaikumsalam’ jawabnya lembut. Masih menunduk.

Mendengar suaranya, terasa waktu berhenti sesaat. Aku berpeluh lagi. Debar hati ini memang tak reda dari tadi. Peluh dingin terus berembun di dahi. Sahabatku yang memandang tersenyum mengerti lantas menyeka peluhku di dahi. Macam perli jek.

’Senyumlah kau. Kau kawen nanti, baru kau tau’ desisku.

Aku menyentuh tangan Humaira, untuk menyarungkan cincin. Zapp... Bagai halilintar merentap hatiku sedetik. Terkaku aku. Terkedu. Hatiku terus bergetar maha hebat.

’Begini perasaannya apabila menyentuh perempuan,’ desisku dalam hati.

Perlahan aku menyarungkan cincin. Tanganku menggeletar, berpeluh. Telingaku menangkap bunyi degup jantungku sendiri sedang Humairah masih tertunduk malu. Aku menyentuh wajahnya, agar memandangku. Tika mata bertaut, dadaku kian berdetak kencang. Terasa darah menyerbu ke muka. Merah wajahku, begitu juga dengan wajahnya. Seketika cuma mata kami bertaut. Nasib baik. Jika tidak, mau pengsan aku di depannya. Malu nanti. Dia mencium tanganku. Sepintas, lahir satu perasaan yang sukar untuk ku mengerti. Ada rasa bahagia, ada rasa cinta, ada rasa malu. Yang pasti, nikmat Ilahi memang sukar kuungkap sendiri. Berdebar tu memang tak usah nak kata lah. Memang tak reda dari tadi. Aku mengucup dahinya sambil dia memejamkan mata. Mungkin malu. Aku pun malu juga. Terasa hangat dahinya, dan sejuk wajahku. Aku sempat tersenyum padanya. Iklas. Mungkin juga cuba nak cover malu sebab tangan masih terketar-ketar. Tiba-tiba, entah dari mana keberanianku datang, aku mengerdipkan mataku padanya bila kulihat dia melirik padaku. Sempat pulak mengusik walhal aku sendiri pun sedang bermandi peluh dingin. Dia tertunduk kembali dengan wajahnya yang kian memerah. Aku tersenyum nakal. Beranilah konon. Nur Humaira tersipu malu. Ah, memang sesuai dengan namamu, sayang.





Aturcara majlis diteruskan dengan santapan beradab. Aku lihat Humairah hanya menjamah sedikit. Aku tersenyum. Aku sendiri tidak larat menyuap. Masih terasa debar yang menggila sebentar tadi. Kami melayani tetamu selepas makan. Hari kian merangkak pergi, tetamu pun kian surut. Kami bergilir solat asar sebentar tadi kerana tetamu agak ramai. Kami solat Maghrib berjemaah satu keluarga di ruang tamu. Aku diberi pernghormatan untuk menjadi imam. Aku mengangkat takbir. Tenang. Selepas memberi salam bersama doa yang ringkas, kami selesai menunaikan solat berjemaah. Sambil menghabiskan beberapa kerja yang tertangguh tadi, aku berborak mesra dengan keluarga isteriku. Nur Humaira pula leka berbual dengan ibunya di satu sudut. Sesekali aku melirik padanya. Begitu juga dengan dirinya yang curi-curi memandangku. Sekali mata bertaut, wajahnya memerah dan tertunduk kembali. Ah, alangkah manisnya. Aku sekadar mengulum senyum. Tau malu, nak curi-curi tengok orang, desisku. Tersenyum lagi.

Selesai kerja, aku melangkah masuk ke bilik untuk membersihkan diri. Terasa kurang selesa dengan lekit peluh sejak tadi. Selesai mandi, aku keluar dari bilik air. Pada waktu yang sama, aku melihat Humaira melangkah masuk. Dia memandangku, terkesima. Wajahnya memerah lagi. Aku senyum nakal. Lantas dia berpaling dan keluar balik dari bilik kami sambil menutup pintu. Ah, dia malu melihatku yang hanya bertuala. Aku pula lupa nak bawa baju sekali tadi. Wajahnya yang termalu menerjah ruang fikiranku, membuatkan aku tersenyum sendiri. Pemalu sungguh isteriku, menggamit lagi perasaanku sebagai seorang suami. Aku merebahkan badan ke katil, niat untuk lelap seketika sementara menunggu Isya’.


'Abang, bangun. Isya’ dah ni’ aku menangkap satu suara di sisiku.

Aku terpisat-pisat cuba membuka mata. Humairah duduk di birai katil sambil menggoyang-goyangkan tubuhku. Terus berusaha mengejutkan aku yang disangka terlalu lena. Melihat usahanya yang bersungguh-sungguh, timbul idea nakal untuk mengusik. Aku mengeliat sedikit lalu meletakkan lenganku di ribaannya. Dia seolah gelisah. Aku tersenyum sambil terus berpuara-pura tidur. Humaira memanggil aku lagi.

’Abang Islah, bangun. Isya’ ni, bang’ katanya lagi. Wajahnya terus resah dan memerah.

Aku mengulum senyum dalam kepuraanku. Saja ingin menguji. Suaranya tidak kedengaran lagi. Terasa ada jemari halus yang menyentuh rambutku. Membelai lembut. Kemudian, jemari tersebut beralih ke alis mataku, hidung, terus ke bibirku. Aku terbuai sebentar. Sedang dia leka membelaiku, aku membuka mata. Wajahnya kelihatan terkejut. Aku tersenyum nakal, mengusik. Terus dia tertunduk dan bergegas bangun menuju ke pintu. Sebelum keluar, sempat dia melirik melalui ekor matanya dan tersenyum padaku. Ah, aku benar-benar tergoda.

Dengan senyuman yang tak pernah lupus, aku menuju ke bilik air. Aku berwudhu’ dan menunggunya. Humaira masuk, masih bertudung sejak tadi. Kami menunaikan solat Isya’ berjemaah. Selesai solat, dia menghampiriku untuk bersalam denganku. Aku memandangnya sedang dia masih dengan hobinya, menunduk. Kami bersalaman. Ingin dia segera bangun dan beredar namun sempat aku memegang kejap tangannya dan menarik lembut. Humaira terduduk di pangkuanku sambil terjerit kecil. Lucu melihat gelagatnya.

‘Kenapa, abang?’ tanyanya.

Aku terus tersenyum dan berdiam diri. Dia memandang wajahku. Kaget.

’Abang, kenapa ni?’
’Tak ada apa’ masih tersenyum.
‘Abang niiii....’ nada tak puas hati
’Yer? Kenapa, sayang?’ masih ingin menyakat.

Dia cuba bangun untuk melarikan diri dengan wajahnya yang kian merah. Namun sempat aku menghalang.

’Sayang, kita kan dah jadi suami isteri’ mataku menyapa wajahnya. Humaira tetap menunduk bersama seulas senyuman.

’Nih, bila nak buang ni?’ kataku sambil menyentuh tudungnya. Kening ku angkat sedikit, tanda tak puas hati.
Pecah berderai tawa Humaira. Suka sungguh dia tengok muka tak puas hati aku. Lagi aku mencebik. Perlahan-lahan Humaira mendekatkan wajahnya dengan wajahku. Tiba-tiba hatiku berdetak kencang. Kaget. Peluh dingin merecup di dahi. Dekat sungguh wajahnya denganku hingga aku terasa hela nafasnya. Aku kaku bersama debaran yang kian menggila. Humaira mendekatkan bibir mungilnya ke telingaku sedang aku terus kaku melayan gemuruhku.

’Abang....’ sapa nya. Gemersik menggoda. Aku membatu. Berpeluh lagi. Gulppp..... aku menelan liur menahan gelora bersama wajah yang kian merah. Tiba-tiba telingaku menangkap hilai tawa halus. Tersentak aku sedang Humaira terus berlari ke pintu. Sebelum keluar, sempat dia menyakat...
’oh.... tau malu. Nak nyakat orang konon, ’ katanya sambil berlalu dengan senyuman dan mata yang dikenyit nakal. Mata bundarnya seolah cuba menggodaku.

Ya Allah !!!.... Isteri aku kenakan aku rupanya. Nakal juga si Humaira ni. Aku beristighfar meredakan gelora yang menggila tadi. Adoii..... nasib baik dia isteri aku, halal untukku membalas usikannya. Siap lah dia nanti.... Hatiku kian terpaut pada Humaira.


Dialah yang telah menciptakan kamu daripada jenis yang satu dan menjadikan daripada jenis yang satu itu pasangannya supaya condong kepada pasangannya dan bersenang hati dengannya.
(al-A’raf : 189)



Malam kian melabuhkan tirainya. Letih yang membelenggu kian surut berganti waktu sedang aku menanti Humaira mendatangiku. Sifat malu Humaira membuat hatiku tergadai. Besarnya nikmat Tuhan buatku. Pintu dikuak perlahan, Humaira menjengah dengan wajah mulusnya yang ditundukkan. Kakinya melangkah perlahan menujuku. Jelas aku lihat wajahnya yang kemerahan dalam cahaya suram. Hatiku berdetak lagi. Terpukau dengan keindahan Humaira yang perlahan-lahan melurutkan tudungnya.

MasyaAllah..... Keindahan yang tersangat agung untukku, disebalik tudungnya yang labuh. Hanya untukku. Perlahan Humaira menghampiri, berteleku di birai katil. Aku merenungnya kian lama. Indahnya. Bukan kerna kecantikan lahiriahnya tetapi kerna kerapiannya menyimpan segala kecantikan kurniaan Tuhan. Aku menyentuh tangan Humaira....

`Jom solat sunat kejap’ kataku.
Humaira tersenyum. Aku yang bersalah. Galak sangat menyakat lepas solat Isya’ tadi sampai terlupa nak solat sunat. Kami menunaikan solat sunat berjemaah. Selepas bersalaman, aku bersenang dengannya di katil kami. Berbual dan saling mengenali. Saat paling indah dalam hidupku. Perlahan aku merapati isteriku. Tangannyaku sentuh lembut. Nikmat dan saat yang akan kukenang seumur hidupku, InsyaAllah. Allah kasih akan aku. Dikurniakan seorang isteri yang cukup sempurna bagiku. Dia permaisuriku. Mengemudi kelebihanku, melengkapi kelemahanku. Menyokong kejayaanku, menongkat kejatuhanku. Menurut saat ku bertitah, memimpin tika ku tersasar.



Isteri solehah (saff-one)

Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata
Penawar hati
Penajam fikiran
Di rumah dia isteri
Di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan

Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan

Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya

Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan





Setelah berpuluh tahun aku melayari alam rumah tangga, Humaira tetap menjadi permaisuriku selamanya. Hatiku telah dia miliki sejak ucaptama akad nikah sehingga hembus nafas terakhirku, InsyaAllah. Debar tika pertama kalinya tangan kami bersentuhan, masih menjadi memori paling indah buatku. Syukur buat Mu, Tuhanku. Kau perliharaku dari fitnah dunia sehingga dapat aku merasai nikmatMu yang Kau janjikan buat hambaMu yang taat. Andai aku tidak menjaga pergaulanku, hampir pasti.... aku tak akan merasai nikmat debaran yang menggila, tangan yang menggeletar tika menyarung cincin, nafas yang tersekat-sekat menahan detak hati yang bergelora. Memang lucu jika dikenang kembali namun itulah nikmat dan memori yang akan ku simpan hingga jasad terkubur di liang lahad. Nikmat menjadi insan yang bersusah-payah memelihara diri, Allah gantikan dengan nikmat yang lebih besar, yang hanya dapat dirasai oleh `insan suci’. Suci dari fitnah dunia, suci dari fitnah perempuan. InsyaAllah...

[+/-] Teruskan pembacaan...

Wednesday, July 23, 2008

Transeksual (maklum balas artikel)

Kesibukan yang menyengat bersama lambakan kerja yang masih tak sudah mengekang ruang waktu untuk terus menjenguk dunia luar. Namun dalam kegilaan mengejar masa yang tak pernah belas menanti manusia alpa, ana terpanggil untuk memberi maklum balas terhadap artikel celik minda terbaru milik sahabat, imakubex. Isu yang hangat dan sensitif namun dilihat dari aspek dan perspektif yang berbeza, credit utk beliau.



Isu yang dibangkitkan, mentality, double standard, diskriminasi. Namun bagi ana (secara peribadi) kedua-dua kes berkenaan tidaklah sepatutnya berjalan seiring begitu. Ana memahami sifat diskriminasi di kalangan rakyat (fokus: Malaysia) yang masih lagi menolak kewujudan kaum transgender malah meminggirkan terus kaum tersebut kerna aspek agama dan adat. Penolakan golongan tersebut atas dasar 'ia menyalahi hukum agama yang mereka anuti' malah kesan negatif yang dibawanya memang tidak dapat dinafikan lagi. Namun, atas alasan apa penolakan 'niqab' oleh kerajaan Perancis? (sori kalu salah tafsir artikel, my english is sucks.. muahhahaha..).. Adakah ia menyalahi mana2 agama? Atau pon mendatangkan kesan2 buruk mahupun menjadi punca percambahan masalah sosial yang lain? Cumanya ia dipinggirkan kerna tindakan para pejuang syahid yang mengebom dan diberi istilah pengganas itu berniqab. Maksudnya, bukan kerna niqab itu asalnya tetapi kerna 'perlakuan' tersebut maka terbinanya mentality tersebut. Sama lah juga dgn mentality sesetengah masyarakat Barat terhadap orang Islam dan sebagainya. Kerana itu ana katakan, kedua2nya tidak sepatutnya dibanding beza sebegitu. Maksudnya, pembinaan mentality negatif terhadap golongan transeksual adalah jelas berasas namun diskriminasi terhadap niqab? Ana tinggalkan dengan persoalan...


Gadis niQaB


Namun penulisan sebegitu tidaklah membuktikan ana menyokong sebarang bentuk 'double standard' terhadap mereka yang menjalani proses transgender. Bagi kaum tersebut yang beragama Islam, ana fahami sebab penolakan masyarakat terhadap mereka. Fokus yang hendak diketengahkan oleh Imakubex ialah golongan transgender di kalangan bukan Islam yang 'tidak bersalah' dari sudut agama kerana tiada sebarang larangan terhadap perlakuan tersebut (based on their religion- perhaps). Namun, ana nak tanya? Agama mana yang membenarkan sebarang bentuk perlanggaran sunnatullah? iaitu ketentuan Allah? MMg lah dr sudut agama lain, ia tak dikenali sebagai 'ketentuan Allah' tetapi lebih dikenali sebagai hukum alam. Sama lah tuhh... Malah, golongan transgender ini bukan sahaja ditolak oleh masyarakat muslim malah turut dipandang enteng oleh masyarakat Malaysia amnya. Jika golongan trangender ini dikatakan ada hak untuk memilih siapa diri mereka, malah menentukan sendiri apa jantina mereka maka tak salah ana katakan masyarakat sendiri ada hak untuk menghukum 'perlanggaran nilai moral' dalam komuniti yang berkaitan.

Baik lah, kalau nak cakap pasal hak, semua nak bertegang urat.
Lebih elok kita cakap pasal penyelesaiannya. Yer, hak golongan ini untuk menentu hala tuju mereka dan hak masyarakat untuk buat tak peduli dgn golongan ini. Namun sampai bila nak pejam mata dan buat tak tau tentang kewujudan golongan nih? Kajian yang dilakukan Profesor Madya Dr. Teh Yik Koon (mungkin dah jd Prof kott...) Beliau telah mengetengahkan statistik2 bidang pekerjaan golongan transeksual ini hasil daripada penolakan masyarakat. Pemikiran masyarakat yang menutup penuh sebarang penglibatan golongan ini termasuklah bidang pekerjaan membuatkan mereka (golongan transeksual) seolah-olah tiada jalan keluar lain untuk mencari rezeki selain daripada bekerja di kelab malam, melacur dan sebagainya yang seangkatan (melibatkan sexual connections). Tanggungjawab masyarakat bukannya menghukum perbuatan mereka yang salah itu (di mata masyarakat) lalu membiarkan mereka2 ini terumbang-ambing dan keadaan menjadi lebih parah. Kerana tiada pintu rezeki yang lain (seperti yang didakwa), mereka memilih untuk membuat pekerjaan2 yang terlarang secara tak langsung terus membenih penyakit sosial yang lebih teruk di kalangan ahli masyarakat.

Golongan ini seharusnya dibantu dan diinsafkan, sama seperti golongan penagih dadah. Jika penagih dadah yang seperti bangkai bernyawa itu kita laburkan wang yang banyak untuk dipulihkan, mengapa tidak golongan transgender ini? Sogokan ilmu tentang kesan buruk terhadap tindakan mereka serta hebahan maklumat di kalangan masyarakat (tentang bahaya transgender) amat perlu untuk membendung masalah ini, bukan sekadar menghukum golongan2 ini. Penyelesaiannya, masyarakat yang bersifat 'mendidik' lebih efektif berbanding bersifat 'menghukum' bagi menghilangkan kekalutan dalam perkara ini. Tetapi, untuk mengiktiraf terus golongan ini bersama tuntutan-tuntutanya ana memang tak sokong. Kenapa? Ia seolah-olah menggalakkan percambahan golongan ini. Memang, golongan ini semakin berkembang biak tanpa disedari oleh sesetengah pihak yang tak peduli namun itu bukan alasan untuk pengiktirafan tersebut yang seolah-olah membenarkkan tindakan mereka dari sudut undang-undang. Malah jika status 'sebenar' mereka tidak 'dipamerkan' akan mendatangkan kesukaran dalam hal nikah kahwen (bukan untuk agama Islam sahaja, adat pengebumian, dan urusan2 rasmi lain yang memerlukan pengesahan jantina ...

Ana bagi satu analogi. Di sekolah, pelajar-pelajar tidak dibenarkan menghisap rokok. Memang ada pelajar yang menghisap rokok namun bilangannya tidak begitu berkembang dan masih terkawal. Nak hisap rokok pon curi2. Tiba-tiba undang2 dipinda, membolehkan pelajar menghisap rokok di sekolah. Maka, berbondong2 lah pelajar yang dahulunya tersorok2 menyedut asap rokok di tandas, dalam keadaan takut2, kini dengan gah dan 'macho' nya menghisap rokok secara terang-terangan. Fenomena tersebut bakal menggamit keinginan pelajar lain pula untuk mencuba mahupun melibatkan diri dengan aktiviti berkenaan. Walau sehebat mana pon kempen anti-rokok berjalan dalam sekolah tersebut, keseronokan 'zahir' yang terlihat dikalangan si perokok2 ini membuatkan mereka yang memandang ingin sama turut serta. Maka berkembanglah puak perokok di dalam sekolah tersebut. Pabila satu hari nanti, keburukan rokok itu terkesan pada batang tubuh mereka maka tidak ada apa yang mereka mampu buat selain menyesal tanpa boleh kembali ke keadaan sedia kala, sebelum digelar perokok. Maka masalah rokok yang 'dihalalkan' melalui undang-undang itu berkembang dan generasi sekolah seterusnya penuh dengan perokok bersama asap rokok...







sekian....


p/s: perkara di atas sekadar pendapat peribadi penulis.

[+/-] Teruskan pembacaan...

20 sifat lelaki yang pompuan benci

Manusia dijadikan Allah berbeza-beza agar boleh kita saling belajar untuk memahami satu sama lain. Di sini lah kekuatan ikatan ukhwah sebenarnya. Contoh paling ketara perbezaan yang Allah swt jadikan ialah perbezaan jantina; lelaki dan wanita. Kekuatan silaturrahim terletak pada kefahaman terhadap dua makhluk tersebut. so, para rijal di luar sana, mari kita intai dan lihat sifat2mu yang tak disukai langsung oleh kaum hawa, generally... ^^


20 sifat lelaki yang pompuan benci

1. MENINGGIKAN SUARA
Tahulah mereka dikurniakan suara yang 'macho' tapi kalau nak meninggikan suara sekadar menunjukkan ego, tak eloklah. Ini antara kelemahan lelaki kerana mereka mudah meninggikan suara walaupun pasangannya tidak bersalah.

2. MAIN KAYU TIGA
Bab main kayu tiga ni masalah paling besar. Walaupun dah ada kekasih, mereka sukar untuk setia. Apatah lagi kalau digoda, terus disambar tanpa mempedulikan perasaan kekasihnya.

3. SUKA 'CUCI MATA'
Kebanyakan lelaki sukar mengawal mata (mata keranjang). Pantang jumpa perempuan cantik dan seksi mulalah mata tu macam nak terkeluar.

Walaupun sedang bersama kekasih, si dia tidak akan peduli. Bagi mereka tidak salah kalau sekadar mencuci mata tetapi hati kekasih kenalah jaga juga cik abang!

4. MENGONGKONG
Itu tak boleh, ini tak boleh, sikit-sikit nak kontrol. Segala gerak-geri kekasih dikawal, sampaikan nak berpakaian pun harus ditentukan. Kalau nak keluar ke kedai pun kena repot dulu, kalau tidak mulalah tercetusnya pertengkaran kerana hal sekecil itu. Tetapi, mereka akan melenting pula sekiranya aktiviti-aktiviti mereka di soal siasat oleh kekasih mereka... macammana tu?

5. EGO
Ini merupakan masalah paling ketara dan merimaskan kaum wanita. Keegoan dan lelaki memang tak dapat dipisahkan. Tetapi ada kalanya lelaki menjadikan keegoan sebagai alasan untuk mereka bertindak tanpa mempedulikan perasaan si gadis. Keegoan membuatkan lelaki mempunyai kuasa veto dalam kehidupan mereka termasuklah memimpin kaum wanita. Tidak salah mempamerkan ego tetapi biarlah kena pada tempatnya.

6. MENIPU
Masalah yang ketara apabila lelaki suka menipu ataupun memberikan alasan yang tak munasabah. Sanggup memungkiri janji dan memberikan alasan yang mereka mempunyai masalah yang tak dapat dielakkan padahal sebenarnya mereka enggan melaksanakan janji mereka sendiri. Ada juga yang sudah berpunya tetapi mengaku solo. Berterus-teranglah wahai kaum lelaki kerana kaum wanita lebih menghormati mereka yang memiliki sifat berterus-terang ini. Sifat menipu dan suka berdolak-dalih ini lama kelamaan akan membuatkan semua gadis akan menjauhi anda.

7. PERASAN
Aduhaiii... lelaki ini cepat perasan terutamanya jika mereka ini berkerjaya baik, berpenampilan menarik dan mempunyai wajah yang hensem. Boleh tu mengaku merekalah yang menjadi lelaki idaman para wanita. Tapi, mungkin pada pandangan seorang wanita mereka ini sederhana sahaja tapi mereka ini yang suka perasan lebih. Bukan semua wanita memandang pada paras rupa, kalau dah terlebih-lebih perasan tuu... ada wanita yang lebih suka mengutuk dari memuji... hahaha sedarlah!

8. MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI
Susah juga kalau dapat yang mementingkan diri sendiri ni. lelaki selalunya tidak mahu mengalah dan ingin menegakkan pendapat sendiri tanpa mempedulikan luahan pasangannya. Mereka juga suka mendahulukan kemahuan mereka dan jarang hendak mementingkan perasaan kekasih... egolah katakan! Tidak semestinya pendapat kaum wanita ni tak boleh diguna pakai.

9. KURANG MEMBERIKAN PERHATIAN
Lelaki kadangkala suka bertindak sambil lewa dan kurang memberikan perhatian tidak kira dalam apa jua urusan. Tetapi kalau urusan yang berkaitan dengan dirinya sendiri, pantas pula melaksanakannya. Jika berkaitan teman wanita, alamatnya... mereka kurang mengambil perhatian. Mengapa ya? Kaum wanita sebenarnya bukan minta diberikan perhatian 24 jam tetapi cukuplah sekadar pasangannya mengambil tahu akan dirinya kerana sifat semulajadi seseorang wanita itu yang ingin bermanja dan dimanjakan.

10. CEMBURU BUTA
Orang kata cemburu tandanya sayang, tapi kalau cemburu tak tentu pasal dan memanjang saja cemburu, tentu rasa tak selesa juga. Agaknya lelaki yang kuat cemburu ni takut kekasihnya terlepas ke tangan kumbang lain kot. Harus diingat, bukan semua perempuan suka kekasihnya kuat cemburu.

Tapi, ada juga sesetengahnya suka apabila teman lelakinya cemburu kerana seolah-olah teman lelakinya amat menghargai dirinya. Jangan cemburu buta sudahlah, malas jugak nak layan kadang-kadang!

11. MATA DUITAN
Jangan tak tahu ada juga lelaki mata duitan atau pun gelarannya 'lelaki spedo'. Mereka tak kisah nak kikis duit kekasih dengan 1001 macam alasan yang adakalanya tidak logik diterima dek akal fikiran. Kalau kisah perempuan mata duitan kita sudah biasa dengar, tapi kalau lelaki pula yang mata duitan... apa cerita ni?? Takkan masa-masa macam ni keegoan lelaki hilang pulak?!!

12. KOMITED TERHADAP KERJAYA
Susah kalau dapat teman lelaki yang terlalu komited dengan kerjaya.Mereka ni selalu sangat memberi banyak alasan kerja apabila diajak keluar. Kalau keluar bersama, selalu pula bercerita tentang kerja dan merungut sering dibebani kerja yang menimbun. Bukanlah tidak boleh lelaki mementingkan kerjaya tetapi pandai-pandailah membahagikan masa bersama teman wanita. Paling tidak pun, seminggu sekali luangkan masa menemaninya dan lupakan segala hal berkaitan kerja. Bukannya kaum wanita ni tidak memahami kalau teman lelakinya pandai membahagikan masa...

13. PANAS BARAN
Aduiii... masalah yang boleh menimbulkan fobia terhadap seseorang gadis apabila mendapat kekasih yang panas baran. Pantang silap sikit, mahu dihambur segala kemarahannya. Ada juga kesilapan bermula dari diri sendiri tetapi tetap menyalahkan orang lain. Setakat kena tengking boleh lagi diterima walaupun sebal satu badan tapi, bagaimana kalau siap sepak terajang? Kalau nak sepak terajang carilah mereka yang sepadan dan janganlah berlawan dengan kaum yang lemah bang! Di mana sifat bertanggungjawab dan kepimpinan yang ada? Cuba-cubalah kawal kerana setiap dari kita ada barannya, cuma kena pandai-pandai mengawallah. Kalau dah tak terkawal sangat, tak payah bercintalah cik abang oiii!!!

14. KAKI MEROKOK
Ini satu lagi sifat kaum lelaki yang melemaskan wanita. Asyik berasap sana sini, naik lemas dengan bau dan asap rokoknya. Dalam sehari adakalanya habis sekotak rokok. Kalau habiskan duit dengan makan benda berfaedah tak apa juga, ini tidak... asyik menyedut asap yang tidak menyehatkan. Kalau asap tu membawa kesan pada diri sendiri saja tak apa juga, ini tidak... membawa kesan juga pada orang sebelah menyebelah. Kadang-kadang teman wanita menegur bukannya apa, dia sayangkan kita juga dan tak mahu kita jatuh sakit. Lagipun mereka juga tak nak teman lelaki mereka membazirkan duit dengan merokok.

15. PENGOTOR
Ada segelintir lelaki sukar nak menyedari diri mereka ni ada yang pengotor. Terutama bab meludah atau membuang kahak merata-rata. Yarkkk!!! Ada juga yang jarang basuh seluar, pakai baju yang sama berulang kali, tidak memakai deodarant dan macam-macam lagi sampaikan badan sudah berbau semacam pun dia tak sedar. Tidakkah mereka ini terasa segan apabila menyedari badan sudah berbau?? Entahlah... hanya kaum lelaki yang bersifat pengotor ini saja yang dapat menjawabnya.

16. GELOJOH
Kalau bab makan, lelaki ni agak gelojoh. Macam 'food machine'. Mereka lemas melihat teman wanita mereka makan terlalu sopan tetapi mereka tidak sedar cara mereka makan yang gelojoh juga melemaskan kaum wanita. Sepatutnya, samada lelaki mahupun wanita patutlah makan dengan bersopan. Buat apa terkejar-kejar?

17. PENTINGKAN KAWAN-KAWAN
Sanggup membatalkan temujanji semata-mata hendak bermain bola sepak ataupun menonton WWF bersama kawan-kawan. Lelaki juga selalu mementingkan kawan-kawan dalam banyak hal. Sekali-sekala bolahlah, jangan pula selalu saja memberi alasan hinggakan masa bersama teman wanita tiada langsung semata-mata untuk menghabiskan masa bersama kawan-kawan. Apa guna bercinta kalau macam tu gayanya? Kalau ada masalah pula, kawan-kawan sebagai tempat mengadu dengan alasan tidak sesuai bercerita dengan si dia. Kalau dah memilih si dia sebagai kekasih, mungkin satu hari si dia juga akan menjadi isteri anda, jadi takkanlah anda selalu hendak merahsiakan sesuatu dari dia. Tak eloklah berbuat demikian, nanti si dia terasa seolah-olah dirinya tidak penting buat anda pula.

18. TIDAK TAHU MEGHARGAI
Sukar untuk bertemu lelaki yang tahu menghargai perasaan atau pun perbuatan kekasihnya. Ada pula yang berpura-pura tidak mengambil tahu walaupun menyedarinya. Mereka seboleh-bolehnya mahu si dia terang-terangan menunjukkan sikap meghargai mereka ini. Kalau setakat sikit-sikit atau sekadar kiasan tu, alamatnya mereka akan berpura-pura tidak menyedarinya. Apa salahnya sekali-sekala, tunjukkan sikap anda yang menghargainya di atas apa yang cuba dilakukannya terhadap anda seperti memberi hadiah kecil. Setidak-tidaknya ucapkanlah terima kasih setiap kali dia cuba berbuat sesuatu untuk anda.

19. PUTAR BELIT
Lelaki ni ramai yang pakar memutar-belitkan kenyataan walaupun ternyata sememangnya merekalah yang bersalah. Bagi mereka, putar belit ini tak mengapa asalkan si dia mempercayai alasan tersebut dan mereka akan terlepas dari kesalahan sendiri. Sekiranya anda benar-benar menyintai pasangan anda, perkara begini seharusnya tidak berlaku kerana apa akibatnya sekiranya si dia mengetahui juga tipu helah anda suatu hari nanti. Kalau anda tak pandai menyelamatkan keadaan, melepaslah anda!

Jujurlah pada pasangan anda.

20. SUKA KONTROL MACHO
Peh! Nak dikatakan macho, ada juga yang tak. hancur je yang lebih kot! Terutama bab sikap, mahu lebih gentleman, berketrampilan dan hensem.

Seboleh-bolehnya mereka mahu menampakkan yang diri mereka lelaki sejati dan ada elemen HERO. Tak perlulah nak merasakan diri anda macho kerana wanita sahaja yang layak membuat penilaian terhadap anda. Sekiranya anda rasa diri anda macho, tetapi pada mata wanita tersebut anda tidaklah semacho yang disangkakan, tak guna juga!

Sekian je hasil kaji selidik yang dilakukan...

sumber: dah lupa cilok dari mana... ^^

[+/-] Teruskan pembacaan...

Saturday, July 19, 2008

Ilmu yang pelbagai

Apabila keluar ayat;

'Masa kat Uni lah kita nih perlu menghirup ilmu semaksimum mungkin'

Maka kebanyakan manusia pon bertukus-lumus merebus buku kimia, biologi, koordinatan, psikologi bersama rempah-ratus yang pelbagai untuk menghadamkan segala isi perut buku. Tidak lah salah jika ingin kita khatam buku-buku tersebut berapa ratus kali pon. Habes, apanya yang salah?

Yang salahnya ialahh.....


apabila kita mengecilkan skop pemikiran kita bahawa ilmu itu hanyalah ilmu-ilmu formal yang nampak natijahnya di atas kertas putih yang dipanggil transkrip keputusan peperiksaan. Kita lupa bahawa ilmu dalam dunia ini amatlah pelbagai dan luas pula skopnya... ceh, skema plakk... ^^

Terdapat beberapa bidang ilmu yang sering diabaikan seperti ilmu komunikasi, kemahiran insaniah termasuklah kemahiran memimpin dan dipimpin, kemahiran bergaul dengan ahli masyarakat, kemahiran mengadaptasi dengan keadaan sekeliling, kemahiran mengendalikan majlis dan program serta ilmu-ilmu lain yang tidak akan diperoleh secara kuliah tapi dibina hasil pengalaman dan penglibatan kendiri.

Ooohhh yaaa..... lupa lagi satu ilmu yang amat penting di kalangan pompuan iaitu, ilmu di dapur... hehe




Kemahiran-kemahiran seperti itu amat penting terutamanya bagi mereka yang bakal terkejun ke bidang kerjaya yang melibatkan hubunan dengan manusia lain. Oleh kerana bidang ana ialah perguruan, ana menyentuh sedikit tentang profesion ini. Tugas guru bukanlah setakat masuk ke kelas then...

`ok murid2... Bukak buku sekian, muka surat sekian....` then baca jek cam bullet train




Sedangkan tanggungjawab guru bukannya sekadar menyampaikan ilmu bahkan juga mendidik dan mengasuh. Setakat menyampaikan ilmu (tanpa mengira sama ada ilmu itu benar-benar sampai kepada pelajar mahu pun tidak), baik tak payah nak bazir masa 4 tahun bertapa kat Uni. Budak lepas SPM pon dah boleh ngajar dah. Maka, apakah sifat-sifat yang membezakan kriteria seorang guru dengan pelajar lepasn SPM selain ilmu konten yang sedikit mendalam?

Haaaa..... di sini lah letaknya peranan ilmu dan kemahiran tambahan tadi. Faktor ini jugalah yang menjadi kayu ukur tahap seseorang guru sama ada cemerlang mahupun tidak. Kemahiran tambahan ini lah yang akan mebentuk keupayaan seseorang guru itu melaksanakan fungsinya sebagai pendidik masyarakat.

'Seorang yang hebat adalah individu yang menterjemah perkara yang sukar ke bentuk yang lebih mudah'


Jadi, aktif-aktifkan lah diri anda dengan aktiviti-aktiviti tambahan. Ana tidaklah menyuruh terlalu aktif ke sana dan ke mari sampai pointer merudum gilerr2... Cumanya janganlah asyik jadi ulat yang berkhalwat dengan buku jek sampai buta dengan dunia luar... gitu lahh... Hujung minggu nih ana akan menyertai sahabat-sahabat yang lain ke satu program, Khalifah Youth Training (KYT) yang bertempat di Khalifah Institute, Ampang. Moga-moga ana dapat sesuatu di sana untuk dikongsi dengan sahabat-sahabat sekalian, InsyaAllah...

[+/-] Teruskan pembacaan...