Aku memandang bapa mertuaku yang menjadi wali pernikahanku. Masih terngiang-ngiang suara bapa mertuaku, Haji Abdul Rahim yang menyampaikan khutbah nikah sebentar tadi.
‘Rumah tangga yang ideal menurut ajaran Islam adalah rumah tangga yang diliputi Sakinah (ketentraman jiwa), Mawaddah (rasa cinta) dan Rahmah (kasih sayang), Allah berfirman, ertinya :
‘Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu hidup tentram bersamanya. Dan Dia (juga) telah menjadikan di antaramu (suami, isteri) rasa cinta dan kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir”.
(Ar-Ruum:21).
Dalam rumah tangga yang Islami, seorang suami dan isteri harus saling memahami kekurangan dan kelebihannya, serta harus tahu pula hak dan kewajibannya serta memahami tugas dan fungsinya masing-masing yang harus dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sehingga upaya untuk mewujudkan perkawinan dan rumah tangga yang mendapat keredha’an Allah. Sebak. Terasa bahuku sarat dengan tanggungjawab yang tergalas sebagai ketua keluarga yang kubina. Akulah yang bakal mencorakkan syiar Islam dalam keluargaku, InsyaAllah.
Aku menghelas nafas dalam-dalam seraya bangun, bergerak menuju isteriku untuk upacara membatalkan air sembahyang dan menyarung cincin. Sekumpulan wanita yang mengelilingi permaisuri hatiku membuka laluan buatku. Beberapa orang sahabat mengiringi. Aku menghampirinya, memandang wajahnya yang tertunduk malu. Terasa dahiku berpeluh, dadaku berdebar bagai ingin pecah. Langkahku tidak teratur, rasa ingin tumbang. Namun aku gagahkan kakiku melangkah, berteleku betul-betul di hadapannya.
‘Assalamualaikum’ aku menyapa, mengikut sunnah.
’Waalaikumsalam’ jawabnya lembut. Masih menunduk.
Mendengar suaranya, terasa waktu berhenti sesaat. Aku berpeluh lagi. Debar hati ini memang tak reda dari tadi. Peluh dingin terus berembun di dahi. Sahabatku yang memandang tersenyum mengerti lantas menyeka peluhku di dahi. Macam perli jek.
’Senyumlah kau. Kau kawen nanti, baru kau tau’ desisku.
Aku menyentuh tangan Humaira, untuk menyarungkan cincin. Zapp... Bagai halilintar merentap hatiku sedetik. Terkaku aku. Terkedu. Hatiku terus bergetar maha hebat.
’Begini perasaannya apabila menyentuh perempuan,’ desisku dalam hati.
Perlahan aku menyarungkan cincin. Tanganku menggeletar, berpeluh. Telingaku menangkap bunyi degup jantungku sendiri sedang Humairah masih tertunduk malu. Aku menyentuh wajahnya, agar memandangku. Tika mata bertaut, dadaku kian berdetak kencang. Terasa darah menyerbu ke muka. Merah wajahku, begitu juga dengan wajahnya. Seketika cuma mata kami bertaut. Nasib baik. Jika tidak, mau pengsan aku di depannya. Malu nanti. Dia mencium tanganku. Sepintas, lahir satu perasaan yang sukar untuk ku mengerti. Ada rasa bahagia, ada rasa cinta, ada rasa malu. Yang pasti, nikmat Ilahi memang sukar kuungkap sendiri. Berdebar tu memang tak usah nak kata lah. Memang tak reda dari tadi. Aku mengucup dahinya sambil dia memejamkan mata. Mungkin malu. Aku pun malu juga. Terasa hangat dahinya, dan sejuk wajahku. Aku sempat tersenyum padanya. Iklas. Mungkin juga cuba nak cover malu sebab tangan masih terketar-ketar. Tiba-tiba, entah dari mana keberanianku datang, aku mengerdipkan mataku padanya bila kulihat dia melirik padaku. Sempat pulak mengusik walhal aku sendiri pun sedang bermandi peluh dingin. Dia tertunduk kembali dengan wajahnya yang kian memerah. Aku tersenyum nakal. Beranilah konon. Nur Humaira tersipu malu. Ah, memang sesuai dengan namamu, sayang.
Aturcara majlis diteruskan dengan santapan beradab. Aku lihat Humairah hanya menjamah sedikit. Aku tersenyum. Aku sendiri tidak larat menyuap. Masih terasa debar yang menggila sebentar tadi. Kami melayani tetamu selepas makan. Hari kian merangkak pergi, tetamu pun kian surut. Kami bergilir solat asar sebentar tadi kerana tetamu agak ramai. Kami solat Maghrib berjemaah satu keluarga di ruang tamu. Aku diberi pernghormatan untuk menjadi imam. Aku mengangkat takbir. Tenang. Selepas memberi salam bersama doa yang ringkas, kami selesai menunaikan solat berjemaah. Sambil menghabiskan beberapa kerja yang tertangguh tadi, aku berborak mesra dengan keluarga isteriku. Nur Humaira pula leka berbual dengan ibunya di satu sudut. Sesekali aku melirik padanya. Begitu juga dengan dirinya yang curi-curi memandangku. Sekali mata bertaut, wajahnya memerah dan tertunduk kembali. Ah, alangkah manisnya. Aku sekadar mengulum senyum. Tau malu, nak curi-curi tengok orang, desisku. Tersenyum lagi.
Selesai kerja, aku melangkah masuk ke bilik untuk membersihkan diri. Terasa kurang selesa dengan lekit peluh sejak tadi. Selesai mandi, aku keluar dari bilik air. Pada waktu yang sama, aku melihat Humaira melangkah masuk. Dia memandangku, terkesima. Wajahnya memerah lagi. Aku senyum nakal. Lantas dia berpaling dan keluar balik dari bilik kami sambil menutup pintu. Ah, dia malu melihatku yang hanya bertuala. Aku pula lupa nak bawa baju sekali tadi. Wajahnya yang termalu menerjah ruang fikiranku, membuatkan aku tersenyum sendiri. Pemalu sungguh isteriku, menggamit lagi perasaanku sebagai seorang suami. Aku merebahkan badan ke katil, niat untuk lelap seketika sementara menunggu Isya’.
'Abang, bangun. Isya’ dah ni’ aku menangkap satu suara di sisiku.
Aku terpisat-pisat cuba membuka mata. Humairah duduk di birai katil sambil menggoyang-goyangkan tubuhku. Terus berusaha mengejutkan aku yang disangka terlalu lena. Melihat usahanya yang bersungguh-sungguh, timbul idea nakal untuk mengusik. Aku mengeliat sedikit lalu meletakkan lenganku di ribaannya. Dia seolah gelisah. Aku tersenyum sambil terus berpuara-pura tidur. Humaira memanggil aku lagi.
’Abang Islah, bangun. Isya’ ni, bang’ katanya lagi. Wajahnya terus resah dan memerah.
Aku mengulum senyum dalam kepuraanku. Saja ingin menguji. Suaranya tidak kedengaran lagi. Terasa ada jemari halus yang menyentuh rambutku. Membelai lembut. Kemudian, jemari tersebut beralih ke alis mataku, hidung, terus ke bibirku. Aku terbuai sebentar. Sedang dia leka membelaiku, aku membuka mata. Wajahnya kelihatan terkejut. Aku tersenyum nakal, mengusik. Terus dia tertunduk dan bergegas bangun menuju ke pintu. Sebelum keluar, sempat dia melirik melalui ekor matanya dan tersenyum padaku. Ah, aku benar-benar tergoda.
Dengan senyuman yang tak pernah lupus, aku menuju ke bilik air. Aku berwudhu’ dan menunggunya. Humaira masuk, masih bertudung sejak tadi. Kami menunaikan solat Isya’ berjemaah. Selesai solat, dia menghampiriku untuk bersalam denganku. Aku memandangnya sedang dia masih dengan hobinya, menunduk. Kami bersalaman. Ingin dia segera bangun dan beredar namun sempat aku memegang kejap tangannya dan menarik lembut. Humaira terduduk di pangkuanku sambil terjerit kecil. Lucu melihat gelagatnya.
‘Kenapa, abang?’ tanyanya.
Aku terus tersenyum dan berdiam diri. Dia memandang wajahku. Kaget.
’Abang, kenapa ni?’
’Tak ada apa’ masih tersenyum.
‘Abang niiii....’ nada tak puas hati
’Yer? Kenapa, sayang?’ masih ingin menyakat.
Dia cuba bangun untuk melarikan diri dengan wajahnya yang kian merah. Namun sempat aku menghalang.
’Sayang, kita kan dah jadi suami isteri’ mataku menyapa wajahnya. Humaira tetap menunduk bersama seulas senyuman.
’Nih, bila nak buang ni?’ kataku sambil menyentuh tudungnya. Kening ku angkat sedikit, tanda tak puas hati.
Pecah berderai tawa Humaira. Suka sungguh dia tengok muka tak puas hati aku. Lagi aku mencebik. Perlahan-lahan Humaira mendekatkan wajahnya dengan wajahku. Tiba-tiba hatiku berdetak kencang. Kaget. Peluh dingin merecup di dahi. Dekat sungguh wajahnya denganku hingga aku terasa hela nafasnya. Aku kaku bersama debaran yang kian menggila. Humaira mendekatkan bibir mungilnya ke telingaku sedang aku terus kaku melayan gemuruhku.
’Abang....’ sapa nya. Gemersik menggoda. Aku membatu. Berpeluh lagi. Gulppp..... aku menelan liur menahan gelora bersama wajah yang kian merah. Tiba-tiba telingaku menangkap hilai tawa halus. Tersentak aku sedang Humaira terus berlari ke pintu. Sebelum keluar, sempat dia menyakat...
’oh.... tau malu. Nak nyakat orang konon, ’ katanya sambil berlalu dengan senyuman dan mata yang dikenyit nakal. Mata bundarnya seolah cuba menggodaku.
Ya Allah !!!.... Isteri aku kenakan aku rupanya. Nakal juga si Humaira ni. Aku beristighfar meredakan gelora yang menggila tadi. Adoii..... nasib baik dia isteri aku, halal untukku membalas usikannya. Siap lah dia nanti.... Hatiku kian terpaut pada Humaira.
Dialah yang telah menciptakan kamu daripada jenis yang satu dan menjadikan daripada jenis yang satu itu pasangannya supaya condong kepada pasangannya dan bersenang hati dengannya.
(al-A’raf : 189)
Malam kian melabuhkan tirainya. Letih yang membelenggu kian surut berganti waktu sedang aku menanti Humaira mendatangiku. Sifat malu Humaira membuat hatiku tergadai. Besarnya nikmat Tuhan buatku. Pintu dikuak perlahan, Humaira menjengah dengan wajah mulusnya yang ditundukkan. Kakinya melangkah perlahan menujuku. Jelas aku lihat wajahnya yang kemerahan dalam cahaya suram. Hatiku berdetak lagi. Terpukau dengan keindahan Humaira yang perlahan-lahan melurutkan tudungnya.
MasyaAllah..... Keindahan yang tersangat agung untukku, disebalik tudungnya yang labuh. Hanya untukku. Perlahan Humaira menghampiri, berteleku di birai katil. Aku merenungnya kian lama. Indahnya. Bukan kerna kecantikan lahiriahnya tetapi kerna kerapiannya menyimpan segala kecantikan kurniaan Tuhan. Aku menyentuh tangan Humaira....
`Jom solat sunat kejap’ kataku.
Humaira tersenyum. Aku yang bersalah. Galak sangat menyakat lepas solat Isya’ tadi sampai terlupa nak solat sunat. Kami menunaikan solat sunat berjemaah. Selepas bersalaman, aku bersenang dengannya di katil kami. Berbual dan saling mengenali. Saat paling indah dalam hidupku. Perlahan aku merapati isteriku. Tangannyaku sentuh lembut. Nikmat dan saat yang akan kukenang seumur hidupku, InsyaAllah. Allah kasih akan aku. Dikurniakan seorang isteri yang cukup sempurna bagiku. Dia permaisuriku. Mengemudi kelebihanku, melengkapi kelemahanku. Menyokong kejayaanku, menongkat kejatuhanku. Menurut saat ku bertitah, memimpin tika ku tersasar.
Isteri solehah (saff-one)
Isteri cerdik yang solehah
Penyejuk mata
Penawar hati
Penajam fikiran
Di rumah dia isteri
Di jalanan kawan
Di waktu kita buntu
Dia penunjuk jalan
Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa dia mengingatkan
Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa ramai bila bersamanya
Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan
Setelah berpuluh tahun aku melayari alam rumah tangga, Humaira tetap menjadi permaisuriku selamanya. Hatiku telah dia miliki sejak ucaptama akad nikah sehingga hembus nafas terakhirku, InsyaAllah. Debar tika pertama kalinya tangan kami bersentuhan, masih menjadi memori paling indah buatku. Syukur buat Mu, Tuhanku. Kau perliharaku dari fitnah dunia sehingga dapat aku merasai nikmatMu yang Kau janjikan buat hambaMu yang taat. Andai aku tidak menjaga pergaulanku, hampir pasti.... aku tak akan merasai nikmat debaran yang menggila, tangan yang menggeletar tika menyarung cincin, nafas yang tersekat-sekat menahan detak hati yang bergelora. Memang lucu jika dikenang kembali namun itulah nikmat dan memori yang akan ku simpan hingga jasad terkubur di liang lahad. Nikmat menjadi insan yang bersusah-payah memelihara diri, Allah gantikan dengan nikmat yang lebih besar, yang hanya dapat dirasai oleh `insan suci’. Suci dari fitnah dunia, suci dari fitnah perempuan. InsyaAllah...