Teman Bicara

Tuesday, August 18, 2009

Tenunglah rumput di bawah

Ana rancak bercerita dengan sahabat di sebelah, Nazihah. Perihal konvokesyen kami menjadi topik utama. Suasana yang ceria, penuh gelak tawa dan tepuk tampar. Afif di belakang hanya mampu tersenyum, menggeleng kepala. Perjalanan pulang ke Teluk Intan (nazihah drive, ana jadi co-pilot saja) membawa seribu satu kenangan manis bersama. Hilai tawa terhenti, telefon berdering minta diberi perhatian.


'Salam, kak zihah. Safwan dalam perjalanan ke rumah. Baru dengar berita, rumah hangus dijilat api. Doakan safwan tabah, kak'


Masej yang berbaur duka. Moga dikuatkan semangat adik safwan, berdepan ujian yang bertimpa-timpa. Allah cintakan kamu, dik. Mata nazihah bergenang, sedang ana hanya mampu beristighfar. Cuma desah nafas yang terdengar. Sunyi. Pasrah dengan aturan qada'Nya.


Terasa ingin terbang, segera sampai di sana. Menghulur bantuan jasmani dan emosi. Berat ujian ini bagi safwan, salah seorang anak yatim di Darussakinah. Kehidupan yang mengajarnya erti berdikari. Menggalas tanggungjawab sebagai imam dalam usia yang masih hijau. Damainya safwan menjalani kehidupan sebagai seorang pelajar di USIM, terkejut mendengar perkhabaran yang menguji ketabahannya. Safwan nekad bertolak dari USIM ke Teluk Intan menaiki motosikal, dengan para sahabat yang berkonvoi menaiki kereta.


Setibanya kami di Teluk Intan, kami sempat menyinggah di Darussakinah. Kendian, langsung ke rumah safwan untuk melihat-lihat keadaan rumahnya. Ini, beberapa koleksi gambar tentang keadaan di sana:




Hujan lebat, kilat sabung-menyabung. Tanpa disedari, panahan petir menyambar pokok yang terletak di sisi rumah, yang dipercayai menjadi punca kebakaran. Bermula dari sekelompok pokok, api semakin marak dan menyambar bahagian dapur rumah. Di situ terletaknya peti ais dan motor kapcai comel.

Gambar 1- Pokok yang disambar petir. Lokasi pertama kebakaran.
Gambar 2- Peti ais yang menyebabkan api semakin menggila walau kehujanan. Di atasnya itu, mungkin microwave.
Gambar 3- Motor kesayangan yang hanya tinggal rangka. Petrol boleh menyebabkan letupan maha dasyat.





'Di sinlah bilik air kami, dahulu' hiba saja.




Kesan yang tinggal selepas kebakaran. Habis terbakar semua. Namun, tidak terdapat sebarang kecederangan mahupun kemalangan jiwa. Penghuninya berada di rumah sebelah, iaitu rumah kakak safwan. Tiada sebarang harta mahupun barangan personal yang sempat untuk diselamatkan.

Sebaik tiba di tempat kejadian, ana berbual dengan ibu safwan, sebagai huluran bantuan emosi untuk meredakan hati yang rawan. Wajahnya disalut pilu. Bergenang namun tidak tertumpah air mata. Pasrah dan redha. Beliau bercerita tentang pinggan mangkuknya, katil, serta barang penting yang hangus dimamah api. Simpati. Ana faham, beliau cuba menzahirkan kesedihan. Tangan ana menggosok-gosok bahunya, tanda sokongan moral.


Wajah insan tabah yang diuji ALlah. Safwan dan ibunya, masih mampu tersenyum.

Majlis Perwakilan Pelajar USIM yang berkonvoi bersama Safwan. Mereka menyampaikan sumbangan buat keluarga tabah ini.


Sebarang sumbangan beropa keperluan harian boleh lah diserahkan melalui Rumah Anak Yatim Darussakinah, Chenderong Balai. Rumah anak-anak yatim ini adalah kelolaan Ustaz Haji Sulaiman Bin Hashim dan keluarga. Semoga beliau sekeluarga digolongkan dalam golongan insan yang mendapat keredhaan Allah, dan mampu menempah tempat di sisi-Nya kerna menyayangi anak-anak yatim ini.


Yayasan Anak Yatim Darussakinah
Lot 2272, Parit 1,
Jalan Bostam,
Kampong Belt Chenderong Balai,
36600 Teluk Intan, Perak.

Sebarang sumbangan berupa wang kepada rumah anak yatim ini boleh disalurkan melalui akaun bank Islam, 08_031 0200 18054. Daftar no 113.

Sumbangan buat Safawan, sebaiknya dimaklumkan kepada Ustaz untuk diasingkan dengan wang anak yatim. Ustaz boleh dihubungi melalui nombor : 019-5781955


Ada tikanya kita terlupa untuk mensyukuri nikmat hidup ini. Maka, tenunglah rumput di bawah. Agar kita tahu, betapa ramai manusia yang lebih mensyukuri nikmat Allah walaupun terhad. Berbanding kita, gagal mempamer syukur sedangkan nikmatnya berlipat ganda.


Semoga ALlah merahmati dan meredhai mereka.Sebelum berangkat pulang, ibu safwan memeluk erat dan mencium pipi ana. Itu tanda penghargaannya kerna keprihatinan kami. Jelas, sokongan emosi amat mereka perlukan. Buat keluarga mangsa, semoga terus tabah. Allah sayang kalian.... :puppyeyes:

[+/-] Teruskan pembacaan...

Sunday, August 16, 2009

Wajah-wajah Graduan

14 Ogos 2009 - Rasmi sudah ana sebagai graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi Istiadat Konvokesyen ke-11 sesi ke-2 tahun 2009. Bergelar graduan muda dan belum berkahwen kelulusan Ijazah Sarjana Muda jurusan Sains (kimia) dan Pendidikan. Graduan ini telah mempunyai tiket untuk menempah tempat dalam sistem pendidikan negara sebagai seorang pendidik yang menggalas tanggungjawab yang maha hebat, memanusiakan manusia.


Tugas seorang pendidik bukanlah tugas yang mudah. Setiap hari akan berdepan dengan cabaran baru. Manusia yang berlainan ragam, dilayan mengikut keperluan masing-masing. Khuatir jika bahu ini tak mampu menopang beban yang kian bertapuk. Ana kongsikan koleksi memori sepanjang istiadat konvokesyen tersebut :




Bunga ini adalah milik orang, pinjam untuk bergambar. Sian, kan? Muahahahaha...... ^^





Perarakan Istiadat Konvokesyen ke-11, siri ke-2. Kesian graduan sesi petang yang kehujanan. Perarakan akademik tidak dapat dilangsungkan. Ada hikmahnya ya, sahabat-sahabat... ^^



Pintu masuk ke dewan. Penuh dengan bunga-bunga ~ngeeee



Nak jugak letak gambar pakai jubah.... Boleh lah~
Terpaksa mencacatkan gambar... hoho~




Sahabat duania akhirat. Mengapa? Ana sering menjadi rujukannya, begitu juga dia yang menjadi rujukan ana. Yang paling sedih, ana tidak sempat merakam memori ini dengan kesemua sahabat.



Insan yang sering munajat dan berendam air mata untuk melihat ana memakai jubah konvo.








Orang lain punya konvo, dia lak yang enjoy lebih-lebih ~Ahaks. Tunggu 5 tahun lagik lah, merasa yang sendiri punya... ^^



Bakal konvo Politeknik Sultan Azlan Shah, Tanjung Malim. Berhasrat menyambung di UPSI, InsyaAllah....
Cikgu jugak... Aihhh~



Mana pula lah arah tujunya dia nie.... ^^

[+/-] Teruskan pembacaan...

Wednesday, August 12, 2009

Kontroversi di UPSI

Pesta Konvokesyen ke-11 di UPSI.... Tentunya ia adalah pesta yang paling meriah di antara yang lain, mengapa? Sebab ini pesta konvo ana.... muahahaha..... Gurau sket jek. Pesta konvo ini adalah rentetan ke-11 dalam sejarah UPSI sebagai sebuah institusi pendidikan yang berteraskan aliran pendidikan sepenuhnya. Ya, di sini, daya intelektual dibina kononnya di kalangan para pelajar dengan harapan bakal-bakal graduat ini mampu menyambung misi untuk menyemai nilai intelektual dalam masyarakat.



Ucapan NC bergema, mengalu-alukan pembukaan pesta konvo kali yang ke-11 di UPSI. Selesai upacara perasmian, majlis diteruskan dengan persembahan yang julung-julung kalinya diadakan di UPSI, konsert hiburan. Tatkala Jaclyn Victor menyambut mic yang diserahkan kepadanya, serentak dengan itu, sekumpulan pelajar di barisan hadapan berdiri. Mengikut telahan, mungkin ingin memberi sembah hormat. Meleset. Bangun dan berlalu. Berdesir pergi, bagai angin lalu. Lenyap sekelip mata. Saat itu juga, beberapa barisan hadapan yang sesak dengan tubuh-tubuh manusia, menjadi kosong dan lengang. Jac dengan wajah terkejutnya, meminta penonton yang lain tampil untuk memenuhkan barisan yang baru sahaja dikosongkan oleh pejuang-pejuang yang berani. Penangan suara mahasiswa, a non-verbal action. Itulah bantahan senyap terhadap konsert yang bertuhankan budaya berhibur. Tindakan berani, penuh kontroversi. Mengapa? Perlukah sedrastik itu tindakannya?


Maka, jawapannya...... SANGAT-SANGAT PERLU


Lebih sedekad usia UPSI, tidak malukah menganjurkan program picisan seumpama itu? Konsert yang tidak punya sebarang nilai sosial, apatah lagi terjemahan intelektual. Masalah ini bukan satu problem personal malah, ia urusan sejagat. Hampir kesemua institusi pengajian sedang di dodoikan dengan alunan ritma hedonisme, lalu hanyut terbuai bersama arusnya. Maka, mahasiswa-mahasiswa ini terpanggil untuk bersuara, dengan mulut yang terkatup....


Apa? Tidak bolehkah duduk berbincang secara bersemuka? Berunding di meja segi empat, duduk di kerusi empuk, dan kita capai kata sepakat..... Persampahkan itu semua. Bertahun lamanya perjuangan ini dipandang sepi.... Dihantar pesanan suara (iaitu patisyen) melalui peringkat-peringkat yang perlu, tersekat di tengah jalan kerna karenah birokrasi. Malah, bertimbun saja kertas kerja yang dipandang enteng, disekat untuk disuarakan ke atas. Terus, pilihan yang lain pula jalannya untuk menyuarakan pendapat... Bantahan secara terbuka, juga melalui cara halal. Memfailkan bantahan melalui short cut, terus ke pihak atasan, NC. Penganjurnya dikecam malah dipaksa menepek maruah kebenaran dengan meminta maaf secara terbuka, kerna tidak menghormati birokrasi kononnya. Baik, masih ada lubang untuk kita bernafas. Melalui MPP, mahasiswa sedar diri ini menyuarakan bantahan, untuk kesekian kalinya (sebahagian sahaja ahli MPP yang terlibat dalam bantahan) Langsung tidak diambil tindakan. Suara mahasiswa umpama burung-burung yang memanggil tuan, diserkup tempurung kelapa. Halus saja, tiada kesan. Maka, cara kontroversi ini dipilih. Jika tidak, manakan perkara ini dipandang serius berikutnya.


Mahasiswa-mahasiswa berani ini tidak langsung berniat untuk merosakkan rencana majlis malah, mereka meraikan pembukaan Pesta Konvokesyen ke-11 di UPSI. Mereka hadir untuk meramaikan audiens. Namun, pabila bermulanya majlis kemaksiatan, tiada pilihan lain. Bangkit segera, atau menempah tempat di neraka. Mengapa? Penting sangatkah bantahan ke atas konsert ini? Salah kah jika mahu berhibur sedikit? Setelah penat berteleku menelaah ilmu?


Alasannn.....


Seorang sahabat, Akhi Fathi telah merungkai isu ini dalam bahasa intelektualnya. Mengupas erti dan bahana hedonisme kepada nilai intelektual para mahasiswa. Di sini, akan ana cuba mengupas bahana konsert kepada budaya, pemikiran dan indoktrin informal dikalangan masyarakat....


Konsert bermaksud, persembahan muzik oleh penyanyi mahupun pemuzik di hadapan khalayak penonton. Kesan konsert ke atas masyarakat sekitar adalah bergnatung kepada pembawaan konsert berkenaan. Jika yang menyampaikannya ialah penasyid yang mengajak pengunjung untuk mengingati Allah maka, mengingati Allah itu adalah indoktrin utama. Namun dalam tidak sedar, terdapat beberapa penerapan nilai yang berlaku secara informal. Cara pemakaian artis, pergaulan, tahap keanggunan artis di kalangan masyarakat, semua itu memberi kesan kepada khalayak yang berpusu-pusu menyertai persembahan tersebut. Dalam bahasa mudahnya, matlamat konsert dan artis memberi kesan kepada para pendengar dari pelbagai aspek, akan dibincangkan di bawah.


Mengapa Konsert Ini Dipulaukan dengan Kejam?


Apabila berkata tentang konsert, perkataan yang sinonim dengannya ialah 'glamour'. Nilai glamour yang ditonjolkan oleh penyanyi yang membuat persembahan bakal mengaburi mata penonton. Masyarakat melihat betapa gahnya seseorang itu berdiri di hadapan pentas, setiap butir bicaranya diambil perhatian. Langkah dan lenggok laku juga diamati. Namanya meniti bibir serta sering menjadi tumpuan orang ramai. Ini lah antara nilai glamour yang ditonjolkan. Melihat kesedapan palsu yang dinikmati oleh mereka-mereka yang terlibat dengan dunia glamour membentuk pattern pemikiran di kalangan masyarakat untuk mengikut jejak langkah itu. Lantaran itu, masyarakat cilik mula meletakkan target untuk mengecapi dunia glamour tersebut. Maka, lakulah rancangan-rancangan realiti yang menjanjikan dunia glamour tanpa sempadan, bagi mereka yang berpemikiran naif. Perkara biasa, yang wanita nya tergelek-gelek di pentas untuk mengecap glamour. Juga, perkara biasa, lelakinya menanggal t-shirt dan membuat aksi buka seluar untuk mengecap glamour. Semuanya kerna indoktrin glamour yang didewa-dewikan sedari kecil.



Hari ini, dunia glamour kian popular sebagai matlamat hidup para pemudi kita. Tuntas secara normalnya, mereka akan memilih artis-artis tertentu untuk menjadi idola mahupun rujukan mereka. Rujukan dari segi penampilan, cara berpakaian, cara berdiplomasi, produk yang digunakan dan sebagainya. Maka nya, dengan akhlak dikalangan artis yang kian merudum, ia turut memberi kesan kepada akhlak remaja kita. Perkara slumber jika para artis berpelukan, menangisi kekalahan. Perkara biasa jika para artis berpakaian tidak sopan, mengundang gelojak nafsu sang buaya. Juga perkara lumrah jika para artisnya terpekik terlolong, terkinja di pentas khalayak. Maka, lahirlah para remaja yang gemar ke gig, mahupun remaja yang berhobikan jamming. Juga semakin beranak pinak pakaian-pakaian yang tidak cukup kain, serta berkain tipis. Ia hasil daripada indoktrin 'fesyen' yang dibawa oleh ikon kegemaran mereka. Ana tak pasti pakaian apakah yang dikenakan oleh Jac pada malam itu, dan pakaian apa pula yang bakal dipamerkan oleh Faizal Tahir kemudiannya. Apa yang ana pasti, ia akan punya pengikutnya yang tersendiri.


Apa pula kaitannya dengan gejala sosial?

Jelas dan terang, bukan? Pemakaian seperti itu bakal mengundang padah kepada diri yang terlibat. Berpakaian mencolok mata dan kurang sopan, hasil peniruan ikon dan idola masing-masing, bakal mengundang bahana yang tidak terjangka. Maka lahirlah mangsa rogol, sumbang mahram, mahupun hubungan zina yang berleluasa. Siapa yang salah jika sengaja menyerahkan diri ke mulut buaya?


Berkenaan dengan akhlak.... Aksi kurang sopan yang melanggar etika dan hukum agama, sering dipertontonkan oleh para artis, tidak terkecuali semasa berlangsungnya konsert yang gilang gemilang dengan labuhan dosa. Bersentuhan, berteriakan, serta berpelakuan dengan bertujuan mengundang ghairah antara perilaku yang sering dibuat. Perlakuan ini memberi satu set pemikiran jahiliah bagi mereka yang tidak mengetahui, 'boleh rupanya begitu'.

'Tidak salah rupanya yang bertudung itu bersalam'
'Tidak salah rupanya yang bertudung itu mempamer suara'

Maka, lahirlah anak-anak syaitan hasil dari pergaulan bebas tanpa batasan. Terus, fikirkan saja natijah apa yang datang kemudiannya....


Itu, perkaitan antara bahana konsert dengan pembentukan nilai dan etika masyarakat setempat. Ana tidak menuduh masyarakat tidak berilmu untuk menilai betul-salah perbuatan artis. Namun, perkara yang salah apabila dilumrahkan, akan kabur-kabur hukumnya bagi mereka yang sentiasa cuba menolak hukum.... Seterusnya, peradaban dan nilai norma masyarakat setempat yang kian membelakangi agama turut dijadikan alasan untuk meminggarkan terus syariat yang masih bersisa.... Mahukah kita duduk berpeluk tubuh dan bergoyang kaki melihat situasi itu menjadi realiti? Fikirlah, dengan mata hati....


[+/-] Teruskan pembacaan...

Monday, August 10, 2009

Telah Terkuak Pintu

Pabila Tuhan membidik panah cinta, biasnya terasa hingga ke relung hati. Bertahun dirinya aku kenali, baru kini pintu hati diketuk. Mengapa? Urusan Tuhan, jangan ditanya pada empunya diri yang jua tidak miliki jawapannya. Beribu pria dalam hidupku, lalu mengapa Tuhan memilih dia? Oh, memilih dia untuk ku serah kan hati, namun hatinya belum tentu aku miliki… Seperti kataku, tanyakan saja pada Tuhan…


Perempuan yang baik adalah untuk lelaki yang baik, dan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. (An-Nur : 26)


Ya, pernah beberapa pria ku remukkan hatinya, menolak hajat sebelum ia tersua… Bukannya aku berhati batu, buta menilai cinta mereka. Cuma pabila pintu diketuk, kuncinya entah tersorok di mana, tidak menjumpa untuk dibuka. Maka, tertutuplah ia untuk sekian waktu. Setelah 23 tahun Tuhan membiar engsel pintunya berkarat, hampir roboh kerna keuzuran, akhirnya ia dicat baru, agar tidak usang. Diketuk waktu, maka terbukalah ia. Kuncinya tersisip dicelah-celah pancaran nur wajah wudhuknya. Mungkin kemilau nurnya kelam di mataku sebelum ini, kerna rabun dekat. Asyik membidik yang jauh, yang dekat langsung tersasar.


Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih saying dan belas kasihan (Ar-ruum: 21)


Dia hadir dalam hidupku, telah sekian lama. Usah dikata memandang, sepicing pun aku tak menyedari kehadirannya. Namun, Qada’ Tuhan melakar kisahku. Bezanya hanya sesaat, julat antara sahabat dan cinta. Lalu, aku serahkan hati. Dia? Langsung tidak ku tanya, sekadar menunggu. Usah menafi, kawan. Ku selami kata hatimu, jendelanya hanya di mata. Sungguh, kau punya hajat yang belum terluah. Mungkin masa sedang mengatur kita.

Ayuh, ujarkan saja hasratmu. Ketahuilah...
Jika aku menerimamu, bermakna aku serasi dengan peribadimu.
Jika aku berpaling, bukan bermakna aku menutup hati ini. Ia kerna aku tidak layak untukmu. Kau adalah milik seseorang yang lebih mulia dariku.

Ini, aku tujukan untukmu. Tatkala namamu berdesip di setiap detak nadiku, terngiang ini.... ia pemberian pertamaku untukmu.







'Maaf bila ku tak sempurna
Cinta ini tak mungkin ku cegah
Ayat-ayat cinta bercerita
Cinta ku padamu'







Dia-lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri) untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. (Al-A’raaf : 189)


[+/-] Teruskan pembacaan...