Teman Bicara

Wednesday, July 9, 2008

kanak-kanak pemalu

Melangkah dengan hela nafas yang agak berat. Hari ini, akan bermulalah pengembaraan aku sebagai seorang guru. Kakiku terasa kaku untuk melangkah. Sekadar berdiam diri di depan pintu pagar Sekolah Kebangsaan Padang Mokan yang nampak gah dengan bangunan-bangunannya yang tersergam indah.



'Maaf, cikgu baru ke?' sapa seorang pakcik pengawal. Aku tersenyum lalu mengangguk.
'Cikgu, sila lapor diri di bilik pengetua, ya' katanya lagi melihat reaksiku yang diam seribu bahasa.
'Terima kasih, pakcik' barulah aku mendapat kekuatan untuk bersuara.
Mungkin pakcik tu telah memerhatiku sekian lama dan hairan dengan tindakanku yang berdiri tegak macam tiang bendera. Nak kata lagu Negaraku sedang dimainkan, tak ada pula.

Langkah kaki diteruskan lagi dengan debar yang silih berganti. Masuk ke pejabat, tersenyum pada kerani yang bertugas di kaunter. Selepas berurusan sebentar, aku dibawa ke bilik Pengetua. Pintu diketuk dan dikuak luas. Permandangan yang cukup menyenangkan. Sebuah meja kerja yang agak besar, sofa yang kelihatan empuk, sebuah almari yang penuh dengan piala, rak buku yang penuh dengan fail dan sebuah senyuman tanda mesra. Aku diberi taklimat oleh pengetua mengenai tugasku sebagai seorang guru (secara ringkasnya). Aku diserahkan kepada Penolong Kanan 1 untuk dipimpin dan diselia sepanjang sesi pra-Latihan Mengajar selama 2 minggu ini.



HARI PERTAMA

Aku diamanahkan untuk mengajar kelas 2A yang ditafsir sebagai kelas terpandai antara semua kelas tahun dua. Setelah memperkenalkan diri, aku berkenalan dengan para pelajar. Melihat wajah comel mereka yang tidak berkelip memandangku menyejukkan hati yang sedang resah. Kelas berjalan dengan lancar. Aku mengajar mereka subjek Bahasa Melayu. Walaupun subjek tersebut tidak ada kena mengena langsung dengan bidangku (sains-kimia), sesi pembelajaran berjalan dengan lancar. Untuk menarik penyertaan mereka dalam aktiviti kelas, aku mengadakan permainan kuiz. Semua pelajar amat teruja dan berebut-rebut untuk menjawab soalan yang aku kemukan. Memang keadaan kelas agak gawat namun masih terkawal, ku kira. Melihat wajah-wajah ceria mereka, semangatku untuk meneruskan perjuangan kian utuh.

Namun, dalam kekalutan kelas yang mendamaikan itu, mataku tercantap pada sekujur wajah yang sedang berdiam diri. Sedang pelajar lain ghairah melibatkan diri dalam aktiviti kelas, hanya dia yang menundukkan wajah, membelek kertas yang berada di atas mejanya. Aku jadi hairan. Melihatnya sekilas pandang. Manis. Mata yang bulat bundar, besar. Mulus wajahnya, berkulit cerah. Ulas bibir yang comel bersama songkok yang tertenggek di kepala. Cukup sempurna. Sejuk mata memandang, damai jiwa melihat. Namun, perhatianku padanya sebentar cuma kerna aku perlu meneruskan sesi pengajaran.
'Akan kuselidiki dirinya' berbisik aku pada diri.

Tamat sesi, aku melangkah keluar bersama bayangan wajah si comel tadi. InsyaAllah, akan aku berikan tindakan yang sewajarnya. Aku berharap yang dia tidak menyedari yang aku meniliti dirinya terlalu lama.
Satu hari yang penat, ku kira. Sesampai sahaja dirumah, aku merehatkan diri. Solat zohor? MasyaAllah.... Berat rasanya badan yang keletihan ini. Aku rehat sebentar sebelum memulakan rutin sebagai anak dara di rumah pula.


HARI KEDUA

Perjalanan hari ini tidaklah sesukar kelmarin. Mungkin tubuhku sudahpun menerima hakikat keletihan semalam. Ramai sungguh guru yang mengambil kesempatan ke atas ku. Maklumlah, guru baru. Adatlah disuruh menyelesaikan kerja-kerja remeh. Nasib baiklah aku akan berada di sini salam dua minggu sahaja. Cukuplah agaknya untuk mengumpul pengalaman yang tak seberapa. Dalam kekalutan menyelesaikan tugasan, aku masih lagi memikirkan perihal kanak-kanak yang berjaya mencuri perhatianku kelmarin. Mohd Isma' Haikal. Aku mendengar namanya dari bualan rakan sekelasnya. Mujur juga mereka masih kanak-kanak. Kalau tidak, kontroversi pulak nanti.

Semasa dalam perjalanan ke kantin, aku terlihat kelibatnya. Duduk menyendiri di suatu sudut bersama air minumannya. Aku menghampiri lalu menegur.
'Isma. Buat apa kat sini? Kenapa tak makan dengan kawan-kawan?' tegurku.
Dia nampak terkejut dengan kehadiranku. Hanya memandang kemudian, menunduk kembali. Aku jadi bertambah hairan.


'Assalamualaikum, cikgu' katanya.
Terkesima aku. Lantas menyedari kesilapanku yang tidak menghulur salam terlebih dahulu. Tersenyum malu sambil menjawab salamnya. Aku mengulangi soalanku.
'Saja' jawapan ringkas dari Isma.
Lalu dia meminta diri untuk pergi. Aku pun tak mampu menghalangnya kerana loceng tamat waktu rehat berkumandang. Bingit. Tak jadi aku ke kantin, terus berpatah balik ke bilik guru. Hilang seleraku dek persoalan yang aku sendiri cari.


HARI-HARI SETERUSNYA

Wajah Isma masih lagi berlegar-legar di mindaku. Kenapa? Aku sendiri tak tahu mengapa aku begitu tertarik padanya. Setiap hari aku cuba menegurnya dan setiap kali itulah dia cuba mengelakkan diri. Aku kah yang bersalah? Sehinggakan dia menjauhkan diri? Atau dirinya memang suka keseorangan. Tapi, adakalanya aku nampak Isma' ceria dengan kawan-kawannya. Maksudnya, dia juga seperti kanak-kanak yang lain, suka bermain dan berseronok. Tetapi berbeza sekali apabila berdepan denganku. Diam membisu dengan senyum merekah yang tak pernah lekang di bibirnya.
Aku masuk lagi ke kelas 2A. Kelas ganti (atau relief). Subjek yang sama, Bahasa Melayu. Aku mengarahkan mereka mengeluarkan sekeping kertas.



'Sekarang ni, cikgu nak awak semua tulis 10 ayat yang menggambarkan diri awak sendiri' kataku.
Maka sibuklah mereka menconteng kertas yang berada di atas meja masing-masing. Mereka tekun menunduk, menyelesaikan tugas yang aku berikan sambil tersengih-sengih. Ada kalanya mereka terjenguk-jenguk rakan di sebelah.
'Panjang betul leher budak-budak ni' bisikku sambil tersengih sorang.
Nampaknya mereka dah selesai.
'Sekarang ni, tukar kertas kamu dengan kawan yang berada di sebelah kamu. Jangan lupa tulis nama kamu' aku memberi arahan.
'Cikgu akan pilih beberapa orang. Yang terpilih nanti, sila datang ke depan dan bacakan kertas kawan kamu yang kamu pegang tu' rasanya, arahan yang aku beri sudah cukup jelas untuk pemahaman pelajar tahun 2 seperti mereka. Aku memilih secara random. Mereka yang terpilih akan ke hadapan untuk membacakan perihal rakannya. Tiba-tiba, suatu nama memancing perhatianku.

'Nama kawan saya nie, Mohd Isma' Haikal. Dia tulis;
1. Saya tak ada adik, atau abang atau kakak.
2. Saya suka pakai songkok saya. Songkok saya, ayah saya yang belikan.
3. Saya paling sayang ayah, emak, dan kucing saya, choki choki nama dia.
4. Saya ada ramai kawan. Semuanya lelaki.
5. Saya suka kelas Bahasa Melayu
6. Saya suka main kuiz. Seronok sangat dapat main kuiz.
7. Saya suka cikgu baru.
8. Saya malu nak cakap dengan cikgu baru.
9. Dulu saya tak suka Bahasa Melayu. Sekarang saya suka.
10. Saya nak main kuiz lagi.

Aku tersentak bila dengar ayat yang keluar dari mulut pelajar tersebut. Bukan Isma' yang membacakannya tetapi rakan Isma'. Aku lihat Isma' masih menunduk dan menulis sesuatu. Seolah-olah langsung tidak mempedulikan aku dan langsung tidak menyertai aktiviti yang aku jalankan. Isma' nampak seperti menyendiri setiap kali aku berada di depannya. Pelajar-pelajar lain mengambil giliran untuk terus membaca hasil kerja rakan-rakan mereka sedang fikiran aku pula melayang. Berfikir tentang apa yang berada di dalam fikiran Isma' sebenarnya. Kalau dia suka subjek aku, aktiviti aku, dan diri aku sebagai seorang guru, kenapa dia langsung tak melibatkan diri di dalam kelas semasa sesi pengajaran? Pelik sungguh ....

Selepas kelas, pelajar berpusu-pusu keluar. Maklumlah, kelas terakhir. Berebut-rebut mereka ke luar pintu. Macam tak muat pintu tu. Aku menghampiri Isma' yang sedang bersiap-siap. Aku menarik kerusi yang berada di meja sebalah lalu duduk. Isma' nampak terkejut.

'Assalamualaikum, Isma' salam dihulur. Tak mau aku mengulangi kesilapan yang sama.
'Waalaikumsalam, cikgu' jawabnya.
'Cikgu nak cakap sikit dengan Isma'. Isma' lapang,kan? Balik rumah sendiri, kan?'
'Ada apa, cikgu?'
'Isma' suka cikgu mengajar?' saja aku bertanya walhal aku dah tau hakikatnya.
'Suka' jawabnya. Mungkin kerana terpaksa, mungkin rela. Aku cuba mentafsir.
'Habis tu, kenapa cikgu buat kuiz, Isma' tak nak jawab pun. Isma' duduk diam jek' terpaksa aku merendahkan laras bahasaku supaya setara dengan kefahamannya.
'Saya suka'
'Habis tu?' tanyaku
'Saya malu...' katanya yang mengejutkanku
'Malu kenapa? Kalau salah, tak per lah.'
'Bukan itu lah, cikgu'
'Habis tu?' rasa ingin tau ku meluap-luap. Tapi, nak cari jawapan, hanya sabar lah kuncinya.
'Malu dengan cikgu' jawabnya lagi. Bertambah hairan aku dibuatnya.
'Kenapa malu dengan cikgu pulak? Kamu bukan ada buat salah ke, apa ker'
'Saya malu'
'Malu kenapa, Isma'. Nak belajar, tak boleh malu'
'Saya lelaki, cikgu perempuan'
'Jadi?' aku masih tak dapat menangkap maksudnya.
'Saya lelaki, cikgu perempuan. Jadi, saya malulah' kenyataan yang bagai halilintar membelah jiwa.


Seorang kanak-kanak yang berumur 8 tahun berperasaan malu hanya kerana perbezaan jantina tanpa dia sendiri dapat mencerna tafsiran malu itu sendiri. Lalu Isma' meminta diri untuk pulang. Aku merelakannya. Melangkah keluar dari bilik darjah tersebut, aku bertembung dengan seorang guru lelaki. Tersengih-sengih macam kerang busuk. Senyum jer lah.


'Kenapa, cikgu? Ada masalah dengan student ke?' tanya nya.
'Tak der lah' ringkas je jawapanku. Malas melayan guru yang terkenal dengan sifat gatalnya ni.
'Tue anak Ustaz Azmi tue' katanya tanpa diminta. Nampak rupanya dia aku dengan si Isma'.
'Siapa? si Isma' tu?' saja tanya, nak minta kepastian.
'Yer lah' jawabnya bosan.
'Senyap betul dia. Tu saya nak tanya dia. Kot lah dia ada masalah'
'Tak der masalah lah. Dia tue memang camtu'
'Memang camtu?' aku kurang faham.
'Yer lah. Dia tu mmg pemalu. Nak cakap dengan perempuan pun malu. Ntah per2 ntah. Kecik lagi jek... Pikir sampai ke mana ntah. Nak bercakap dangan pempuan pun tak mau. Apalagi nak salam...'
'Salam?' aku hairan
'Pernahlah ada seorang guru muda ni hulur tangan kat dia, nak salam. Dia tak sambut. Guru nie marah lah. Tak hormat guru langsung. Kalau saya, saya salam jek' katanya tersengih
'Cikgu nie. Dia tau hukum tak leh bersentuh lelaki pempuan kot'
'Alah.... dia kan kecik lagi. Biasalah. Itu pun nak berkira. Pemalu sangat pun susah jugak, cikgu. Tak boleh nak sentuh lah, apa lah. Adat lah belajar. Kat skolah rendah pun, biasalah. Lainlah sekolah menengah' terangnya lagi, panjang lebar.

'Ayahnya, Ustaz Azmi tue, ker?'
'A'ah. Sama jer dua beranak tue. Bapak borek, anak rintik. Nak bercakap dengan pempuan pun susah. Kita nie satu jawatan. Biasalah kalau borak-borak kosong. Merapatkan ukhwah. Yang anak dia tue, baligh pun tak lagi. Apa salahnya dia salam jer dgn cikgu tue. Bukan dosa pun, tak baligh lagi. Malu konon... Susah lah hidup kalau terlebih malu nie. Si Isma' tue, dengan budak-budak perempuan pun tak bergaul. Dalam kelas pun tak nak bercampur. Aktiviti pun tak nak libatkan diri. Ingat sekolah nie lelaki ajer ke yang ada? Kalau camtu, baik pergi sekolah semua lelaki jek. Senang cerita'
'Kan elok, kalau dia ada perasaan malu' sangkalku.
'Elok aper... Tak bertempat'
'Bertempatlah tu, dia malu dengan perempuan'
'Elleh... Dia kan kecik lagi. Nak fikir per... Malu konon. Pemikirannya pun tak sampai lagi ke bab2 macam tue...'
'Bab2 macam mana, cikgu?' saja aku menjerat
'Bab2 perempuan nie lah. Bukannya dia tau hal2 perempuan nih. Nak malu per' jawabnya sambil tersengih-sengih sumbing.
Menyampah aku. Tak nak lebih menyakitkan hatiku sendiri, aku meminta diri untuk berlalu.

sesampai di rumah....

Aku berfikir. Isma' yang kecil dan masih tak mengenal dunia memiliki sifat yang malu terhadap mereka yang berlainan jantina. Seorang kanak-kanak yang belum baligh, nak bercakap dengan perempuan pun malu, nak berhubung dengan guru perempuan pun malu. Namun, itu tidak bermakna proses pembelajaran tidak berlaku. Ilmu yang aku sampaikan tetap dia terima. Seorang kanak-kanak yang menjaga adabnya, perilakunya, hukum pergaulan antara lelaki dan wanita....


Aku memikirkan pula....
Mereka yang telah meningkat remaja malah dewasa yang tidak memiliki sifat malu. Bukan setakat bercakap, bergaul, jalan bergandingan bahu malah, lebih dari itu. Tanpa rasa malu. Sedangkan kanak-kanak yang belum baligh pun punya rasa malu.

Aku berfikir lagi...
Kalaulah semua orang di dalam dunia ni pemalu, tentu masalah maksiat tidak meruncing. Sedang berfikir, aku tertidur bersama wajah mulus Isma', seorang kanak-kanak lelaki yang pemalu.

cikgu_eya

9 Julai 2008

6.49 pm

3 respons:

subhanallah...
siapala ummi isma...
beruntungnya lelaki mendapat wanita sebegitu..
mampu mendidik anaknya dengan baik...
semoga kita sama2 menjadi ummi para2 daie..
insyaALLAH

Subhanallah..
Seronoknya ana membaca pengalaman cikgu ke skolah..bertemu dgn anak2 kecil lagi
Moga dpat menjadi pendidik yang mendidik..InsyaAllah..klau boleh crite la lagi pengalaman cikgu bsama2 anak2 ini..

cikgu eya ni br mengajar kt sk padang mokan yea??
sy ni bekas pelajar sekolah tu....